Kayuhan Merentasi Negeri di atas Awan dan Seribu Bukit di Tanah Tinggi Gayo, Aceh – Blangkejeren ~ Takengon

 

Hari 6 (11 Dis) – Blangkejeren > Pantan Cuaca (berkayuh) 34km

                                Pantan Cuaca > Ise-ise (menyewa pick-up) 25km

Saya tidak sabar hendak meninggalkan hotel ini dan kota Blangkejeren. Setelah siap meletak dan mengikat semua beg saya pada basikal, saya bertanya pada Abang Amer di mana Wak Husaini. Saya tidak nampak kelibat beliau semenjak tadi. Abang Amer kata dia kurang pasti kerana beliau telah tiada dibilik semenjak Abang Amer terjaga dari tidur. Saya mengesyaki beliau pergi ke Masjid Raya untuk bersembahyang subuh. Melihat pada waktu yang sudah cerah, saya rasa beliau mendengar kuliah subuh yang kedengaran sayup dari jauh. Wak sudah mula gelisah kerana sepatutnya kami bergerak awal dan keluar sebaik sahaja selepas sembahyang subuh. Setelah hampir jam 7 pagi barulah Wak Husaini kembali ke hotel. Setelah melihat kami semua sudah sedia, beliau tergesa-gesa kembali kebilik untuk mengambil barang-barang beliau.

Pagi itu, saya katakan kepada Wak, saya mahu bersarapan pagi di kota ini. Saya mahu mencari sarapan pagi asli Gayo. Setelah puas berpusing-pusing kami memilih sebuah rumah makan yang menghidangkan makanan asli gayo. Abang Amer memilih pulut yang disirami sri kaya. Saya pula memilih pulut yang diletak kelapa parut, gula dan pisang goreng. Wak memilih sup kambing dan Wak Husaini pula memilih untuk makan nasi berlauk. Pulut itu sangat sedap sehingga Abang Amer makan bertambah. Saya pula berasa puas hati dapat makan selain dari mee segera!

20141211_065407

Pulut bersama hampas kelapa bergula dan pisang goreng menjadi pilihan saya

20141211_065415

Pulut bersama seri kaya pilihan Abang Amer

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Takengon. Tidak pasti dimana kami akan bermalam. Menurut orang tempatan, perkampungan terakhir didalam kacamatan Gayo Lues adalah Ise-ise. Kalau mengikut perancangan asal, kami sepatutnya bermalam di Lumut, kira-kira 75km dari Balangkejeren. Apapun, kami akan cuba berkayuh sejauh mana yang boleh sebelum gelap. Sebaik sahaja meninggalkan kawasan kota, kami dihidangkan dengan pemandangan yang menakjubkan. Blangkejeren terletak disebuah lembah dimana terletaknya hulu Sungai Kali Alas. Sebuah delta yang subur dilitupi oleh hutan pine. Saya berasa seolah-olah berada disebuah negara barat seperti Kanada! Sangat menakjubkan bila melihat sawah padi bertingkat terbentang luas berlatarbelakangkan hutan pine. Jalan agak mendatar sejauh 10km. Abang Amer sekali lagi kelihatan bersemangat berkayuh dan meninggalkan kami agak jauh. Kami banyak berhenti mengambil gambar. Disepanjang laluan kami dapat lihat aktiviti bertani dan juga boleh kedengaran pengumuman dibuat melalui corong-corong pembesar suara dari pejabat kecil kerajaan mengenai pemeriksaan perubatan percuma pada hari tersebut.

20141211_073146

Serasa seperti di negara Eropah

20141211_080408

Jalan bertar yang baru siap dibina

20141211_084605

Abang Amer

IMG_6371

Hutan pine semakin menebal

Tiba-tiba saya nampak Abang Amer membonceng motorsikal dengan sesorang menuju kearah kami. Rupa-rupanya dia menumpang seorang ranjer kerana bimbang kami berhenti bersarapan atau minum seperti tempoh hari. Menurut Abang Amer beliau telah meninggalkan basikalnya ditepi jalan berdekatan dengan sebuah rumah yang sedang dibina secara gotong royong. Kami kemudiannya meneruskan perjalanan, manakala Abang Amer rehat sebentar melayan rokok tembakaunya bersama renjer tersebut. Setelah sampai ditempat dimana basikal Abang Amer ditinggalkan, beliau pun sampai bersama renjer itu. Kami berbual panjang dengannya. Saya sudah lupa akan nama beliau. Seorang renjer muda seperti Wahyudi juga. Menurut beliau tidak lama lagi kami akan memasuki kacamatan Rikit Gaib sebaik sahaja melintasi sebuah jambatan besi yang panjang melintasi Sungai Kali Alas. Rikit itu bermaksud jauh dan gaib pula bermakna hilang. Beliau menasihati kami untuk cuba sampai ke Pantan Cahaya dahulu, kerana menurut beliau Lumut masih jauh dan pendakian akan bertambah mencabar. Menurut beliau terdapat sebuah perkampungan terakhir di Pantan Cuaca, sebuah kampung yg berada di aras tertinggi dan terakhir sebelum pendakian yang paling curam menuju Ise-ise. Tiada perkampungan sejauh 25km dipuncak tertinggi di Lintas Gayo ini. Pada pendapat beliau adalah lebih baik berhenti disitu dan bermula esok sebelum menereuskan perjalanan ke Ise-ise.

IMG_6379

Renjer ini telah menumpangkan Abang Amer berpatah balik mencari kami

IMG_6383

Swis? Kanada?

Setelah berbual hampir setengah jam kami pun meneruskan perjalanan. Kiri dan kanan adalah sawah padi dan gunung ganang beseta hutan pine. Kelihatan petani bergotong royong mengerjakan sawah. Ketika kami berhenti untuk mengambil gambar, tiba-tiba merka melaung sesuatu kepada kami. Lama juga untuk kami fahami rupanya mereka fikir kami adalah wartawan. “Bilang sama pemerintah, sawah kami tiada air. Airnya datang dari sebelah sana tidak turun hingga ke mari. Beritahu ya…”, rayu mereka. Kami hanya membalas dengan perasaan hiba “Ia, akan kami ceritakan, moga ada yang menyampaikan kepada pemerintah”. Kemungkinan jalan raya yg dibina diantara sawah ini telah menyekat laluan air memasuki petak sawah mereka. Kerja-kerja sawah masih dilakukan secara manual dan gotong royong. Hanya sesekali terdapat pesawah yang menggunakan lembu atau kuda dan mesin bajak kecil seperti mesin rumput.

20141211_092107

Perkampungan dicelah lembah berhutan pine

20141211_092657

Penduduk kampung yang meminta bantuan kami

IMG_6395

Si ibu mengendong anak sambil memikul kayu api

IMG_6398

Sawah masih dikerjakan menggunakan tenaga manual dan kerbau

Dari kejauhan saya nampak struktur jambatan besi melintasi sungai. “Pasti ini jambatan yang dikatakan oleh renjer tadi”. Jambatan besi yang berbentuk seperti terowong itu seakan-akan menelan kami masuk kesatu dimensi yang lain. Ditambah pula dengan namanya yang agak eksotik – Rikit Gaib. Dibawah jambatan ini kelihatan petani sedang sibuk bercucuk tanam dan kami mula memasuki kawasan yang semakin tebal hutan pinenya. Saya menjadi semakin rasa teruja. Dihujung kampung, jalan mula mendaki. Jalannya pula sedang dibina, masih berbatu kerikil halus yang belum dimampatkan. Matahari pula sudah mula terik walaupun jam baru menunjukkan pukul 10 pagi. Saya lebih banyak menolak dari berkayuh. Tayar basikal saya yang cuma bersaiz 26 x 1.5 ternyata tidak mampu mencengkam jalan tersebut. Beberapa kali menggelongsor menyebabkan saya merasa lebih selamat menolak dari menunggang. Wak yang menggunakan tayar Deli buatan Indonesia gagah berkayuh. Sepanjang di laluan Gayo ini, tidak sekali pun dia menolak. Di kecuraman yang paling teruk pun beliau masih mampu berkayuh walau pun berhenti disetiap 200 – 500m.

IMG_6410

Jambatan besi yang membawa kami ke kecamatan Rikit Gaib

IMG_6414

Si ibu mengendong anaknya entah kemana

Sepanjang perjalanan itu, ada sahaja orang tempatan yang menegur kami. Kami telah disapa oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai penyelia pembinaan jalan ini, dibawah WIKA sebuah agensi seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Kerja-kerja pembinaan jalan ini diberi kepada kontraktor anak tempatan mengikut kacamatan. Saya sudah lupa nama pemuda tersebut. Beliau mengakui bekas anggota GAM dan melahiekan rasa tidak puas hati bila segelintir orang mengaku sebagai anggota GAM dan melakukan jenayah hingga memburukkan nama GAM. “Jika ada yang mengaku anggota, akan ku suruh ikat matanya dalam bilik gelap, dan nah ku berikan AK14 yang dileraikan. Kalau benar dia anggota GAM, dia bisa memasng semula senjata itu tidak sampai semenit!” ujarnya dengan nada keras. Beliau juga melahirkan rasa tidak puas hati keatas pucuk pimpinan GAM yg setelah berakhirnya konflik ini rata-ratanya hidup senang di Jakarta dan luar negara. Manakala pejuang yang berjuang memegang senjata masih lagi dibelenggu masalah sosio ekonomi. Tiada pembelaan terhadapa ahli keluarga anggota yang terkorban semasa konflik. Walaupun merasa lega dengan berakhirnya konflik ini, beliau masih berasa kurang puas hati dengan bantuan kerajaan yang dianggap terlalu perlahan berbanding probinsi lain. Segala pembangunan yang kita lihat di Aceh adalah atas bantuan dari negara luar yang disalurkan semasa tragedi tsunami. Perasaan tidak puas hati memang jelas terpancar diwajahnya ketika bercerita. Wajah yang sudah melalui pelbagai konflik dari usia muda hingga sekarang.

IMG_6420

Perjalanan semakin sukar

IMG_6421

Bekas anggota GAM

Beliau banyak memberi nasihat dan tips berkenaan laluan kami ke Takengon. Jangan berkayuh hingga lewat petang/senja, jangan buang air kecil merata-rata dan jangan bawa minyak masak kerana bimbang akan binatang buas terutamanya beruang yang masih berkeliaran di kawasan pergunungan pine itu. Seram juga mendengarnya! Seperti renjer sebelum ini, beliau juga menasihati kami untuk berkayuh sehingga Pantan Cuaca, bermalam disitu sebelum meneruskan perjalanan ke Takengon. Setelah mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada pemuda itu, kami pun meneruskan perjalanan. Ternyata perjalanan kami semakin mencabar. Pendakian curam tanpa henti dibawah terik mentari. Peluh mencurah-curah ketika saya bergelut menolak basikal saya yang sarat dengan beg. Namun begitu tidak sedikit pun ianya mematahkan semangat kami.

Semakin lama bekalan air kami semakin berkurangan. Air dari lereng bukit semakin berkurangan kami jumpa. Mungkin kerana kami sudah hampir sampai ke puncak. Akhirnya apa yang saya takuti terjadi. Kami kehabisan air! Tiada perkampungan apatah lagi kedai yang kami temui disepanjang perjalanan. Saya hanya bertawakkal agar ada orang yang lalu lalang untuk kami minta bantuan. Malangnya tak sekali pun ada orang yang lalu! Pancaran matahari yang sangat terik memaksa kami mencari perlindungan ditepi jalan dan tidur sebentar. Jam sudah menunjukkan hampir jam 1 tengah hari. Setelah berehat lebih sejam, saya mengejutkan rakan yang lain untuk meneruskan perjalanan. Bimbang kemalaman dijalan. Tidak jauh selepas itu, kami lihat ada pondok kanvas terletak disebelah kanan bahu jalan. Kami mencuba nasib unruk meminta bekalan air. Rupanya ia adalah khemah yang menempatkan pekerja pembinaan jalan disitu. Kelihatan bersama mereka adalah pemuda yang kami temui sebelum ini. Mereka menyuakan kami sebuah tong air yang mengandungi air yang diambil dari air mata air di lereng bukit. “Ambil semua. Kami boleh ambil lagi nanti”. Kata salah seorang dari mereka. “Mahu kopi, aku buatkan”, tambahnya lagi. Kami menolak kerana cuaca yang panas tidak mungkin kami mahu minum air panas. Setelah puas minum menghilangkan dahaga masing-masing, kami mengisi penuh semua botol air yang kami bawa. Setelah mengucapkan terima kasih, kami pun meneruskan perjalanan.

20141211_101924

Keindahan yang kadangkala melekakan kami dari kesukaran laluan ini

20141211_122805

Pokok cili tumbuh liar dan subur disepanjang jalan disini. Kami ambil sedikit untuk dimasak malam ini

20141211_123902

Curam! separuh nyawa mendaki jalan ini

 

10846389_399437283537198_4190549900455136680_n

Terserempak jemaah tabligh berjalan kaki dalam usaha berdakwah selama 4 bulan. Mereka dari Tanjung Balai sedang membawa bersama mereka buah nangka untuk makan malam

Sejam kemudian selepas berhempas pulas melawan graviti, kami akhirnya memasuki sebuah perkampungan. Kami yakin yang kami telah memasuki kacamatan Pantan Cuaca. Dihujung kampung kelihatan jalan akan mendaki semula. Saya merasakan ianya adalah perkampungan terakhir di Pantan Cuaca. Memandangkan jam sudah menunjukkan jam 3 petang, kami memutuskan untuk mencari kedai makan. Kami memilih sebuah warung yg kelihatan bersih dan mempunyai papan tanda. Satu Hati nama warung itu mengikut pada papan tandanya. Dari papan tamda itu juga, saya tahu nama kampung tersebut ialah Cane Baru. Pemiliknya seorang wanita muda yang kelihatan sarat mengandung. Kami memesan apa sahaja yang dia boleh masak melainkan mee segera! Kami sanggup menunggu beliau menyediakan sup bakso. Sejam juga menunggu, takpalah asalkan kami dapat makan selain mee segera. Selain kqmi, terdapat beberapa anak muda sedang mendengar lagu dan melayan internet diwarung tersebut. Saya bertanya pada mereka keadaan jalan menuju ke Lumut. Menurut mereka, jalan dari situ ke puncak tertinggi Pantan Cuaca adalah ditutup kerana kerja pembaikan dan pelebaran. Sebuah kejadian tanah longsor yang telah memutuskan perhubungan antara Takengon ke Pantan Cuaca telah berlaki pada Oktober lepas. Jalan itu hanya dibuka untuk lalulintas pada jam 12 – 2 pm dan 6 pm keatas.

IMG_6429

Gerai makan Satu Hati di Pantan Cuaca

IMG_6426

Pemilik warung berasal dari Jawa berkahwin dengan wanita Gayo yang memiliki tanah disitu. Isterinya juga sedang sarat mengandung anak pertama

IMG_6422

Kami meminta dia memasakkan kami apa sahaja asalkan bukan mee instant!

“Wah….macam mana ni?”, termangu sebentar mendengar penjelasan mereka. “Berapa pula jaraknya dari sini ke kampung yang terdekat?”. “Sekitar 25km kak, Ise-ise”, balas mereka. “25km itu mendaki terus kak, jalan rusak didalam hutan lagi. Ada satu tanjakkan itu, kalau motor gak kuat, pemboncengnya harus turun! Gak bisa naik”, sambungnya lagi. Nampaknya kami terpaksa mencari alternatif lain. Dengan rancangan asal yang sudah lewat dua hari, tidak mungkin kami boleh balik ke Tanjung Balai tepat pada waktunya. Setelah berbincang dengan yang lain, kami mengambil keputusan untuk menyewa kenderaan terus ke Ise-ise. Kami meminta pemuda yang ada disitu menolong kami mencari kenderaan yang sesuai. Setelah beberapa panggilan talifon dibuat, akhirnya mereka menawarkan sebuah pick-up untuk kami sewa.

Semetara menanti pick-up tersebut sampai, saya telah pergi ke sebuah kedai runcit yang berhampiran. Teringat akan pesanan renjer sebelum ini, Pantan Cuaca adalah pengeluar kopi yang terbaik. Rata-raya kopi gayo yanh dijual di Takengon itu adalah berasal dari daerah itu. Penjual kedai runcit itu adalah seorang nenek tua. “Kopi Gayo asli ada nek?”. “Ada, berapa mau?” balasnya. Melihatkan kopi tersebut adalah dalam bentuk pukal dan belum dibungkus, saya meminta beliau membuat bungkusan 250gm sebanyak 10 bungkus. Saya juga sangat tertarik dengan kayu manis sepanjang sekaki setiap satu. Harganya cuma 1,000 rupiah sebatang (tak sampai 30 sen). Saya juga tekah membeli sedikit bekalan makanan untuk dimasak. Setelah berpuas hati dengan hasil “shopping” saya itu, saya pun kembali ke warung Satu Hati dan mendapati pick-up tersebut telah sampai. Semua basikal dan barang kami sedang dimasukkan dan disusun. Setelah itu kami pun segera berangkat setelah mengucapkan terima kasih kepada pemilik warung dan pemuda-pemuda yang ada disitu.

20141211_151224

Mereka semua sedang mencuba tembakau Abang Amer

20141211_152932

Pick up yang kami sewa

Sebaik sahaja meninggalkan kampung tersebut, jalan terus mendaki curam menuju puncak. Pemandu memberhentikan kami di sebuah ‘view point’ yang menurutnya tempat tertinggi yang boleh nampak perkampungan. Saya merasa sangat kagum melihat keindahan Pantan Cuaca dari jauh. Sangat menakjubkan. Kemudiannya kami berhenti di pos pengawal. Jam baru menunjukkan pukul 5.00 petang. Satu jam lagi untuk dibuka kepada lalu lintas. Semasa menunggu kami sempat berbual dengan penduduk tempatan. Seperti biasa, tembakau Abang Amir diagih keliling. Kami berbual panjang dengan dua oranh pemuda asal Takengon. Mereka berdua membonceng sebuah motorsikal dengan membawa seekor ayam sabung. Menurut mereka, ayam itu mereka beli di Kutacane. Dari mereka berdua, banyak kami tahu tentang sejarah Linge dan asal usul suku Gayo. Mereka juga setuju dengan pendapat saya bahawa sejarah orang gayo ini tidam didokumentasikan untuk dirujuk generasi akan datang. Pemuda tersebut juga berjanji akan mencarikan kami penginapan di Ise-ise.

20141211_153654

Asalkan enjinnya masih bagus!

20141211_160629

Papan tanda notis penutupan jalan

IMG_6436

Sementara menanti jalan dibuka, kami berbual dengan penduduk tempatan. Kelihatan didalam gambar pemuda yang membantu kami di Ise-ise nanti (kedua-duanya meletakkan cermin mata hitam diatas kepala). Dapat dilihat disini, semua orang sedang mencuba tembakau Abang Amer

IMG_6430

Pemandangan dari puncak tertinggi Pantan Cuaca

Tepat jam 6 petang, jalan dibuka. Pick-up yang kami sewa telah menumpangkan beberapa guni kopi dari sebuah lori. Menurut pemandu, ada sebuah jalan yg terlalu mendaki yang tidak akan boleh didaki sekiranya lori tersebut tidak memindahkan sedikit kopinya ke kenderaan lain. Sebaik sahaja semua kenderaan mula bergerak, kabus tebal mula menyelubungi jalan. Sangat sejuk ditambah pula dengan hujan gerimis. Jalan bertanah merah dan sangat sempit dilereng gunung. Saya merasa agak cemas disepanjang perjalanan. Ternyata laluannya sangat curam dan sebaik sahaja melepasi laluan tercuram, guni kopi itu dipindahkan semula ke lori asal. Tak dapat saya bayangkan sekiranya kami berkayuh disini! Terlalu ekstrim dan ditambah denga hutan tebal. Kelihatan khemah biru dicelah2 lereng. “Apa itu?”, tanya saya kepada pemandu. “Pencari emas”, balasnya. “Ahhh….menyesal tak ambil gambar!”, marah ku pada diri sendiri.

Sebenarnya laluan ini agak bahaya dan kerap terjadi tanah longsor. Jalan ini baru sahaja diperbaiki dan dapat dilalui oleh kenderaan besar seperti kereta. Runtuhan terbaru yang telah memerangkap sekumpulan wartawan baru sahaja berlaku pada 24 November yang lepas. Dan sebenarnya dua lagi runtuhan telah berlaku selepas kami melalui kawasan itu iaitu pada 31 Disember dan dua hari berikutnya. Saya kira kami sangat bernasib baik kerana tiada terjadi runtuhan ketika melaluinya. Patutlah saya lihat pemandunya agak cemas disepanjang perjalanan itu. Pemandu itu sangat cermat dan mempunyai skil pemanduan yang sangat baik. Perjalanan yang hanya sejauh 25km itu mengambil masa 2 jam. Kami sampai di Ise-ise dalam kegelapan.

20141211_172659

Kopi yang ditumpangkan kedalam pick up sewa kami dipindahkan semula selepas melepasi puncak tertinggi

20141211_173326

Keadaan jalan yang rosak teruk dan dipenuhi jentera berat

20141211_173351

Jalan dihadapan itu muat-muat pick-up kami. Sebelah kanannya adalah gaung yang dalam

IMG_6444

Jambatan ini telah dibina semasa zaman penaklukan Jepun. Tahun 1970 adalah tahun dimana ia dibina semula

IMG_6443

Jambatan Tangsaran

20141211_175406

Ketinggian mencapai 2000 mdpl. Berkabus dan sangat sejuk

Setelah berbincang dan bersetuju dengan harga sewaan pick-up, pemandu itu pun beredar. Ise-ise adalah merupakan sebuah perkampungan terakhir di dalam kabupaten Gayo Lues. Ianya berada betul-betul disempadan Gayo Lues – Aceh Tengah. Hanya kelihatan beberapa buah gerai menjual makanan ringan, sebuah rumah makan dan masjid. Kelihatan juga sebuah sungai yang sangat deras dan cantik. Tiba-tiba muncul pemuda yang membawa ayam tadi. Rupa-rupanya beliau telah bertemu dengan Pak Dusun (ketua kampung) yang dikenali sebagai Pak Iskandar untuk dikenalkan dengan kami. Muda lagi Pak Dusun Iskandar itu. Pak Dusun berbaik hati membenarkan kami bermalam di sebuah musollah yang terletak di belakang masjid. Beliau telah membawa kami ke musollah tersebut yang merupakan tempat pengajian orang belajar agama. Musollah yang agak besar itu (pada asalnya sebuah masjid) terletak diatas sebuah kolam ikan di pinggir sungai.

IMG_6450

Berbual-bual dengan Pak Iskandar

 

20141212_051448

Musollah ini sangat luas dan selesa

Sambil Wak Husaini melayan Pak Dusun, kami yang lain sibuk membersihkan diri dan menyediakan bahan memasak. Di sebelah musollah ada sebuah pondok untuk memasak, tetapi peralatannya adalah dapur kayu. Jika guna dapur itu, tak tahulah bila kami boleh makan! Kami memilih untuk memasak menggunakan “portable mini stove” kami. Seperti baisa, Wak adalah tukang masaknya. Abang Amer bertugas sebagai pembantu dengan bersedia untuk menerima apa sahaja arahan sang chef Wak. Gelihati saya melihat gelagat mereka berdua. Kami meminta izin dari Pak Dusun untuk mengecaj handphone dan kamera kami. “Ya, silakan. Listrik disini adalah gratis”. Menurut Pak Dusun, perkampungan seramai 70 orang tersebut dibekalkan tenaga elektrik yang dijana sendiri menggunakan kuasa hydro sungai. Mereka hanya perlu membayar tidak sampai RM5 sebulan/setiap rumah untuk penyelenggaraan. Sebelum meninggalkan kami, Pak Dusun sempat menjemput kami untuk bersarapan dirumah beliau esok pagi. “Besok, saya kemari jemput kalian”, katanya. Malam itu saya dapat tidur nyenyak walaupun suhu agak sejuk. Bunyi aliran air sungai yang deras bagaikan dodoian bidadari ditelinga.

Pantan Cuaca sebenarnya terletak di ketinggian 1,600 ~ 1,900 mdpl. Sedangkan Blangkejeren berada di ketinggian 800 ~ 900 mdpl. Puncak tertinggi disepanjang Lintas Gayo adalah terletak disini iaitu diketinggian 1,983 mdpl. Jika dirujuk pada cycleroute.org, jumlah pendakian adalah sebanyak 1,600 m dalam jarak cuma 13 km. Kecuraman mencecah sehingga grade 25% dengan purata grade securam 12%. Nasib baik saya hanya mengetahui tentang kecuramannya setelah balik ke Malaysia. Jika sebelum, sudah pasti saya memilih untuk menyewa angkutan! Kadangkala adalah lebih baik tidak tahu dari tahu supaya kita tidak beralasan. Pasti akhirnya saya sendiri yang rugi.

 

Hari 7 (12 Dis) – Ise-ise > Gelampang Gading (lebih kurang 38 km)

IMG_6452

Musollah ini dibina diatas kolam ikan dan dihadapannya mengalir sungai Ise-ise yang sangat deras alirannya

20141212_064423

Rumah hydro yang membekalkan elektrik dikampung ini

IMG_6454

Bayaran tak sampai RM5 sebulan dikenakan keatas setiap rumah bagi penyelenggaraan mesin ini

Pagi itu setelah siap berkemas dan bersedia untuk meninggalkan Ise-ise, Pak Iskandar datang ke musollah seperti yang dijanjikan. Rumah beliau terletak betul-betul selari dengan pintu gerbang yang memisahkan Kabupaten Gayo Lues dan Aceh Tengah. Kecamatan pertama yang kami masuki di Aceh Tenagh ini adalah Linge. Rumah beliau terletak dikaki bukit. Menurut beliau, dia sekeluarga sedang bersiap sedia untuk berpindah kerana bimbangkan tanah runtuh yang sering terjadi terutama dimusim hujan sekarang ini. Rumahnya kosong tanpa perabut. Semuanya sudah dipindahkan ke rumah jiran. Pak Iskandar mempunyai seorang anak lelaki berusia 8 tahun dan anak perempaun berusia 4 tahun. Keduanya sedang asyik menonton Upin dan Ipin. Isterinya berusia tidak lebih 30 tahun sibuk menghidangkan kami kopi. Isterinya berasal dari Bandung. Saya bertanyakan pada Pak Iskandar, kenapa ramai orang Gayo berkahwin dengan orang liar terutamanya dari Jawa. Ini kerana, pasangan yang punya warung Satu Hati juga suaminya berasal dari Bandung. Menurut Pak Iskandar, orang gayo tidak digalakkan berkahwin dengan oranh sekampung. Oleh kerana itulah mereka kebanyakkannya merantau untuk mencari pekerjaan dan jodoh.

Pekerjaan utama Pak Iskandar ialah bertani dan mengusahakan ladang kopinya. Beliau meminta isterinya membungkuskan biji kopi yang disangan sendiri oleh isterinya kepada saya. Pemberian yang tidak ternilai harganya! Biji kopi ini disangan bersama biji koko. Setelah pulang ke Malaysia, saya telah mengisarnya sendiri. Rasa kopi asli ini ternyata jauh lebih sedap dari kopi yg sudah dicampur. Setelah minum kopi, kami meminta izin untuk berangkat. “Nanti dulu, makan dulu. Isteri saya lagi sedang masak didapur itu”, kata Pak Iskandar. “Wah, susah-susah saja Pak Iskandar ini” balas Wak. Padahal didalam hati kami gembira juga sebab berpeluang merasa masakan orang Gayo, di dalam rumah orang Gayo di tanah Gayo! Saya mengintai kedapur untuk melihat apa yang sedang dilakukan isterinya. Ternyata dia memasak menggunakan dapur kayu!

IMG_6470

Rumah Pak Iskandar, Pak Dusun kampung Ise-ise

IMG_6464

Wak Husaini, Abang Amer, Pak Iskandar dan Wak

IMG_6469

Biji kopi yang diproses sendiri oleh isteri Pak Iskandar. Buah tanga darinya buat kami

IMG_6465

Hidangan sederhana yang sangat menyelerakan

IMG_6461

Dapur kayu yang digunakan

IMG_6462

Anak-anak Pak Iskandar

Hidangannya sangat sederhana tapi cukup menyelerakan. Sayur kobis masak lemak dan telur ayam rebus masak kicap dengan kentang bersama nasi dari beras yang ditanam di tanah tinggi gayo ini. Kami bagaikan orang kelaparan menghabiskan semua lauk yang ada! Sebelum berpisah, kami telah memberi sedikit wang saguhati, gula-gula, jeli dan coklat kepada anak Pak Iskandar. Kami mmg membawa sedikit ‘jajan’ bersama kami untuk diberikan kepada kanak-kanak tempatan yang kami temui sepanjang perjalanan. Terasa berat untuk berpisah dengan Pak Iskandar dan keluarganya. Entah bila lagi kami akan bertemu. Keramahana dan kesederhanaan mereka sangat mengharukan. Kami bertukar-tukar nombor dan beliau berpesan untuk maklumkan pada dia sekiranya kami sampai di Takengon.

IMG_6458

Pintu gerbang sempadan antara Gayo Lues dan Aceh Tengah

 

Mengikut perancangan asal, hari ni sepatutnya kami mensasarkan untuk sampai ke Isaq, sebuah perkampungan kecil terletak kira-kira 30km dari Takengon. Tetapi melihat kepada keadaan jalan dan tahap kemampuan fizikal kami pada saat itu, saya pasti kami tidak mungkin mampu sampai ke Isaq, yang terletak kira-kira 64km dari Ise-ise.

Selepas berkayuh kira-kira sejam, kami melalui sebuah perkampungan bernama Lumut. Kalau mengikut plan perjalanan asal, kami sepatutnya bermalam disitu pada hari ke-5. Ianya sebuah perkampungan kecil dan terkenal dengan batu giyok (jade). Kelihatan penduduk kampung sedang bergotong royong mengadakan kenduri menyambut pengantin lelaki. Kelihatan sederhana tetapi meriah. Keadaan jalan bercampur diantara jalan bertar dan jalan berbatu kerikil yang masih dalam pembinaan. Sudahlah berbatu kerikil dan belum dimampatkan, jalannya juga sangat curam menyukarkan lagi perjalanan kami.

IMG_6472

Kambing dan anjing yang gemar duuk diatas jalan

IMG_6483

Motorsikal ini membawa daging lembu

IMG_6481

Kelihatan kesan kegiatan mencari batu giyok ditepi jalan

IMG_6476

Lelaki ini berjalan sambil melihat-lihat batu-batu ditepi jalan, manalah tau terjumpa batu giyok

IMG_6475

Jalan berbatu kerikil kasar. Menyukarkan kayuhan

IMG_6486

Pelamin pengantin di Lumut

IMG_6489

Kerja gotong royong membina khemah untuk tetamu

IMG_6488

Antara tetamu yang hadir

Sesudah melepasi kampung Lumut, jalan menjadi semakin sunyi. Sesekali kami bertembung dengan orang tempatan. Rata-ratanya agak hairan melihat kami lebih-lebih lagi saya yang sedang menolak basikal. Pelbagai ekspresi muka dapat dilihat dari mereka, dari kehairanan, terkejut dan “sudah tak ada kerja lain agaknya mereka ini”. Ada yang sanggup berhenti untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka. Kebanyakkannya akan tanya satu soalan “Mengapa kemari, ke Gayo Lues?”. Soalan yang saya sendiri sukar nak jawab.

Sedang kami berhenti rehat berlindung dari terik mentari, seorang pakcik menaiki motorsikal menggalas senapang angin menghampiri kami. Seperti biasa, soalan yang dilontarkan adalah dari mana, ada apa, mengapa dan kemana. Wak memgambil kesempatan untuk mencuba senapang angin beliau. Pakcik itu tidak sedikit pun keberatan meminjamkan senapang angin tersebut malah mengisikan peluru (bebuli besi) dan menyuruh Wak menembak kearah sebuah pokok. Menurut pakcik itu, senapang tersebut dibeli dari Surabaya dengan harga 1.5juta Rupiah. Sangat murah dan buatannya juga sangat kemas dan cantik. Saya katakan padanya di Malaysia ianya adalah satu kesalahan memiliki senapang angin tanpa lesen. Dia kata, “Gak apa, beli saja senapangnya tapi gak usah bawa balik ke Malaysia, tinggalkan saja sama saya. Kapan-kapan mahu guna ya ambil”. Lambat juga saya mahu memahami gurauannya. Setelah faham, beliau mentertawakan saya!

20141212_082006

Keadaan jalan selepas Lumut

20141212_091059

Wak sedang mencuba senapang angin

20141212_091532

Pakcik ini sedang menunjukkan cara yang betul untuk mengepam senapang ini

Sepanjang perjalanan dapat dilihat kesan-kesan kerja mencari batu giyok menggunakan alat pengasingan yang dibuat sendiri. Beberapa kali kami bertembung dengan lelaki yang berjalan berseorangan dijalan yang sunyi sambil melihat-lihat kekiri dan kanan jalan. Bila ditanya, cari batu giyok jawabnya. Ada juga yang membawa parang, cuak juga hendak melalui sebelahnya, maklumlah jalan sunyi dan beliau bersenjata.

IMG_6491

Seorang lelaki berjalan sambil membawa sebilah parang. Cuak juga. Bila ditanya, cari batu giyok katanya

Apabila jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari, kami mula mencari tempat yang sesuai untuk berehat dan masjid untuk membolehkan Wak dan yang lain mengerjakan sembahyang jumaat. Setelah selesai, kami pun meneruska perjalanan dan berhenti disebuah kedai untuk makan. Kami meminta tuan kedai memasak nasi goreng untuk kami. Memandangkan beliau tidak memasak nasi, kami terpaksa menunggu hampir dua jam untuk beliau memasak nasi dan menyiapkan nasi goreng. Sedang kami makan, tiba-tiba terlihat seorang pemuda bermotorsikal berhenti dan menghampiri kami. Wahyudi rupanya! Beliau dalam perjalanan ke Takengon untuk bertugas sebagai guide untuk sekumpulan pendaki dari Medan. Beliau menasihati kami untuk berhenti dikampung terakhir kami temui sebelum malam. Menurut beliau, sudah tidak banyak kampung sesudah ini. Perjalanan ke Isaq mungkin lagi 25km katanya. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan hampir pukul 3 petang. Setelah selesai makan kami pun segera meneruskan perjalanan.

anak giyok

Kanak-kanak pun terkena demam batu giyok!

Semakin lama saya rasa perjalanan semakin getir. Tak pasti adakah kerana jalan-jalan tersebut semakin curam dan panjang pendakiannya atau kerana faktor fizikal, badan sudah terlalu letih menghadapi pendakian tanpa henti semenjak 5 hari yang lepas. Saya rasa kaki ini bagaikan sudah tidak mampu menekan pedal. Saya sudah tidak mahu memaksa kaki ini lagi. Makanya saya lebih banyak menolak basikal berbanding mengayuh. Begitu juga dengan abang Amer dan Wak Husaini. Hanya Wak masih bertahan mengayuh inci ke inci. Hari semakin lewat, tak satupun kampung kami temui semenjak meninggalkan kampung yanh terakhir.

IMG_6500

Tak pasti pintu gerbang apa ini

IMG_6498

Monumen?

IMG_6494

Panas terik biarpun suhu dingin

 

20141212_094025

Jalan sedang dilebarkan

20141212_104824

Mendaki dipermukaan batu kerikil yang longgar

20141212_102804

Tolak adalah lebih baik dari berisiko untuk jatuh

20141212_094723

Tidak habis-habis laluan ini sungguhpun indah sangat mendera fizikal dan mental

Saya lihat Abang Amer bagaikan sudah berputus asa, dan beberapa kali menyuarakan hasrat untuk menahan kenderaan. Saya berasa simpati dengannya tapi dalam masa yang sama saya enggan menyerah. Saya pujuk dia dan hati sendiri, “Dah tak jauh bang, kalau lihat tanda jalan kita dah kayuh hampir 25km, tak lama lagi sampailah”. Beberapa kali berselisih denga orang tempatan saya akan berteriak “Jauh lagikah kampung didepan?”. Balas mereka, “Gak jauh…dikit lagi”. Kali pertama saya percaya, tetapi setelah berpuluh kilometer berkayuh, saya enggan percaya lagi dan berhenti bertanya!

 

Hari sudah menjelang gelap, saya sudah mula risau. Jalan masih tidak berhenti mendaki. Hutan pine semakin tebal dan apa yang paling saya bimbangi sedang terjadi. Masih tidak kelihatan kampung. Hanya Wak dan Wak Husaini yang mempunyai lampu basikal. Kami tidak bersedia untuk berkayuh malam. Walaupun saya punya lampu didalam beg, tidam sekali pun saya berani berhenti untuk mengeluarkannya. Bimbang diterkam binatang buas. Mulalah kata-kata pesanan dari bekas anggota GAM terngiang-ngiang ditelinga. Bagaimana kalau kami terserempak dengan beruang?!

Didalam kegelapan tiba-tiba kelihatan satu lembaga hitam ditepi jalan. “Ya Allah! Takkan beruang!” jerit ku dalam hati. Wak menyuluh kearah lembaga itu. Mendengus dan bergerak! Rupanya seekor lembu! Lega rasanya tapi ketakutan masih belum reda. Beberapa kali Abang Amer kata dia nampak lampu dihadapan. Rupanya hanyalah lampu basikal Wak. Sesekali saya terhidu bau wangi. Untuk menyedapkan hati saya anggap kami sudah hampir dengan perkampungan. Sekali lagi Abang Amer kata dia nampak lampu. “Sudahlah! Berhenti berharap! Ilusi Abang Amer jer tu”, rungut saya. “Ya Ija, lampu tu nampak statik. Tak bergerak!”. Semakin lama semakin hampir, semakin kami pasti ia adalah lampu dari sebuah rumah.

Ternyata ia adalah lampu dari sebuah warung. Pemilik warung kelihatan agak terkejut melihat kami yang tiba-tiba keluar dari kegelapan malam. Saya tanyakan padanya “Kak, jauhkah lagi kampung?”. “Sudah gak jauh, sekitar setengah jam perjalanan dengan mobil. Mau kemana kak?”, tanyanya kembali. “Isaq” jawab saya ringkas. “kalau Isaq itu jauh banget lagi!”. “Dah lebih 30km berkayuh masih tak sampai Isaq!”, rungutku dalam hati. Kampung terhampir masih jauh apatah lagi Isaq. “Tidur saja disini” kata kakak itu, mungkin memahami rungutan hatiku.

Ternyata kawasan itu hanya ada dua warung, sebuah musollah dan sebuah rumah kongsi yang didiami oleh pekerja pembinaan jalan. Tanpa ada pilihan lain, kami meminta kebenaran dari kakak itu untuk menumpang tidur di musollah dan mandi dikamar mandinya. Melirik pada jam di tablet saya, barulah saya tahu sekarang sudah jam 8 malam. Hampir sejam kami berkayuh dalam gelap. Abang Azmer dan Wak Husaini kelihatan sangat keletihan. Kami terus memesan makanan diwarung tersebut sebelum membersihkan diri. Kakak itu juga berbaik hati membenarkan kami mengecas semua peralatan kami didalam kedainya. Berhampiran warung kakak ini terdapat sebuah papan tanda yang tertulis Gelampang Gading, nama tempat ini.

Kamar mandinya sangat asas. Tidak berbumbung dan hanya berdindingkan zink. Pintunya pula hanyalah plastik baja. Air yang disalurkan pula adalah dari anak sungai. Berada di ketinggian lebih kirang 1,000 mdpl menyebabkan suhu air tersebut sangat dingin! Saya terpaksa mandi juga dengan air sedingin ais itu kerana sudah seharian berpeluh dan telah tidak membasuh rambut selama dua hari. Tiada bekalan elektrik menyebabkan saya rasa selamat untuk mandi ditempat yang agak terbuka itu. Dalam kegelapan malam sempat juga saya membasuh pakaian yang saya pakai pada hari tersebut.

Cuaca sejuk memaksa kami memasang khemah walaupun pondok musollah itu sebenarnya cukup selesa untuk tidur hanya dengan ‘sleeping bag’. Saya rasa dalam masa beberapa minit sahaja saya telah tertidur dengan lenanya. Tapi sekitar jam 3 pagi tidur kami terganggu dengan bunyi loceng. Pada mulanya saya sangka ada orang yang bermain-main dengan loceng basikal kami. Wak mengintai ke luar khemah. Rupanya terdapat sekumpulan lembu yang dipasangkan loceng dilehernya sedang merayau-rayau berhampiran khemah kami. Agak lama juga lembu-lembu itu disitu sebelum berlalu pergi.

Kebanyakkan lembu disini dipasngkan loceng dileher, pada mulanya kami fikir, ia bagi membolehkan tuan punya lembi senang mengesan lembu mereka yang merayau berhampiran hutan pine disitu. Hanya setelah rakan yang pulang dari Jepun barulah kami tahu. Beliau menceritakan bahawa semasa beliau bertrekking di Jepun, beliau diberikan sebuah loceng kecil dan dikehendaki sentiasa membunyikannya. Dan apabila sampai ke check point tertentu perlu membunyikan loceng besar. Ini adalah kerana menurut penduduk tempatan, beruang takut akan bunyi loceng. Jadi dapatlah saya simpulkan lembu-lembu tersebut dipakaikan loceng bagi mengelakkan menjadi mangsa beruang yang memang terdapat dihutan pine disitu. Kalau kami tahu dari awal kami akan bunyikan loceng sepanjang kami mengayuh dalam kegelapan! Menurut abang Amer pula, dalam kegelapan itu, dia teringat ada membawa minyak masak. Untuk melegaka perasaan takutnya, dia meletakkan helmet pada leher, katanya “Binatang buaskan menerkam leher! Kalau letak helmet, taklah dia dapat baham leher aku…”. Berdekah-dekah kami ketawa dengan teorinya itu.

 

Hari 8 (13 Dis) – Gelampang Gading> Isaq (lebih kurang 21 km)

                                 Isaq > Takengon (menaiki bas sejauh 36km)

Sambil kami mengemas khemah dan barangan kami, saya sempat memesan sarapan pagi di warung. Kakak tersebut telah membuka kedainya seawal jam 6 pagi. Saya merasa lega kerana semua peralatan kami telah didapam kedai kakak itu semalaman. Diwarung tersebut terdapat dua ekor anjing yang selalu mengekori kami. Anjing ini kelihatan seperti anjing liar dan berwarna sama dengan kebanyakkan anjing didaerah ini iaitu coklat bercoreng dengan warna hitam.

20141213_063339

Anjing liar

20141213_063402

Tempat kami bermalam malam tadi

Pada ketika itu kami tidak pasti langsung jarak perjalanan hari ini ke Isaq. Menurut kakak itu, sekitar sejam perjalanan menggunakan motorsikal. Dari situ saya boleh mengagak kami akan berkayuh lebih 4 jam. Kami juga telah berbincang san mengambil keputusan untuk mengambil kenderaan dari Isaq ke Takengon. Pertamanya kami sudah lewat 2 hari dari perancangan asal dan seorang kawan Santi iaitu Pak Hanapiah sudah menanti kami di Takengon. Saya sudah menerima pesanan ringkas dari beliau yang mengharapkan kami tiba pada hari ini.

Setelah mengucapkan terima kasih diatas layanan kakak diwarung itu, kami pun memulakan perjalanan. Dari situ, hutan pine semakin cantik. Kelihatan sawah padi bertingkat-tingkat berlatarbelakangkan hutan pine. Gabungan yang agak pelik tetapi mengagumkan. Jeram deras mengalir disebelah kiri jalan. Saya tidak pasti nama sungai tersebut. Saya bertekad untuk berhenti dan mencelupkan kaki ke dalam sungai tersebut. Jalan masih lagi banyak yang didalam pembinaan dan rosak.

20141213_080323

Hutan pine dikiri kanan jalan

20141213_081807

Indah bukan?

20141213_083249

Saya tak pasti nama sungai ini

20141213_083256

Diantara laluan kegemaran saya

20141213_104434

Salah sebuah perkampungan yang kami lalui, Penduduknya bercakap bahasa jawa

20141213_121111

Wak sedang membasuh muka di air mata air

20141213_121945

Sawah padi berlatar belakangkan hutan pine

Kami telah berhenti disebuah kedai runcit untuk membeli bekalan air mineral dan juga air sejuk. Didepan kedai itu kaum ibu sekitar 10 orang sedang sibuk melihat pakaian-pakaian yang dijual oleh seorang penjaja wanita. Pakaian tersebut kelihatannya datang dari Bandung. Kami dengar mereka berbual didalam bahasa jawa. Wak tanyakan kepada mereka bukankah mereka orang Gayo, kenapa pula bercakap dalam bahasa jawa. Menurut salah seorang dari mereka, kebanyakkan orang Gayo menikahi orang Jawa dari Tanah Jawa. Kerana itu ada dikalangan mereka yang memang orang Gayo boleh berbahasa Jawa. Saya juga ikut melihat-lihat pakaian tersebut. Agak murah, kalaulah saya bawa kereta, mungkin saja saya beli!

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Saya memesan mereka yang dihadapan untuk meninjau-ninjau lokasi sesuai untuk berhenti rehat disungai. Agak sukar juga memilih tempat kerana kebanyakkan jalan adalah lebih tinggi dari tebing sungai. Ini bermakna kami terpaksa meninggalkan basikal tanpa pengawasan. Tiba-tiba saya lihat ada suatu kawasan yg agak rendah dan meninjau tempat tersebut. Ternyata ianya sesuai tapi saya tinggalkan sahaja basikal tetapi ditempat yang agak tersorok. Air sungainya sangat sejuk dan bersih. Dikelilingi hutan pine membuat saya rasa berada disebatang sungai yang terletak dinegara Eropah! Saya telah merendam kaki, mencuci muka dan membersihkan beberapa peralatan dan pakaian disungai tersebut. Setelah berehat hampir sejam, kami pun meneruskan perjalanan.

20141213_124050

Abang Amer sedang berehat di sebatang sungai

Sesekali kami berhenti untuk mengambil gambar dan melihat-lihat aktiviti penduduk tempatan. Tidak lama kemudian kami sampai kesebuah pekan kecil. Saya yakin ianya Isaq. Kami berhenti seketika disebuah kedai runcit untuk membeli air dan saya bertanya pada penjaga kedai nama tempat ini. “Isaq kak”, katanya. Saya menarik nafas lega. “Apa ada bas ke Takengon dik?”, tanyaku lagi. “Bas pagi-pagi tadi kak”, balasnya. “Ah..kacau…takkan nak kena bermalam disini.” rungutku dalam hati. Aku mengajak yang lain untuk mencari kedai makan memandangkan jam sudah menunjukkan jam 1 tengah hari.

Pekan kecil itu kelihatan biasa sahaja dan tidak kelihatan penting. “Betulkah ada bas yang melalui pekan ni?”, kataku dalam hati. Tanggapan saya salah sama sekali. Sekembalinya saya ke Malaysia dan membuat kajian mengenai nama tempat, kampung dan pekan-pekan yang kami lalui barulah saya tahu ianya merupakan pusat atau kota bagi Kecamatan Linge yang terletak di dalam Kabupaten Aceh Tengah. Ianya merupakan kecamatan terbesar di Aceh Tengah dan sarat dengan kesan-kesan sejarah kerajaan kuno di Aceh iaitu kerajaan Linge yang wujud sejak tahun 1025 masehi (416 hijrah) dengan raja pertama mereka Adi Genali. Ianya mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Johor dan Melaka pada waktu serangan Portugis keatas Melaka. Ia juga mempunyai matawang sendiri yanh diperbuat dari emas dipanggil Pa.

Kami memilih sebuah kedai yang terletak dipersimpangan jalan besar. Sebaik sahaja kami masuk kedalam kedai, sebuah bas (mini bus) telah berhenti tepat didepan kedai makan tersebut. Saya betanya, “Ke mana pak?”. “Takengon”, balasnya. Wak telah berbincang dengan pemandu untuk membawa kami ke Takengon. Pemandu bersetuju untuk membawa kami dan juga setuju untuk menunggu kami makan tengah hari sebelum melanjutkan perjalanan.

20141213_143824

Bas yang kami naiki dari Isaq ke Takengon

Setelah itu, pemandu dan kelendannya mula menaikkan basikal kami keatas bas. Sambil itu, beliau menceritakan bahawa banyak pesikal barat juga menaiki kenderaan unyuk ke Takengon. Menurutnya, jalan ke Takengon dari Isaq adalah pendakian curam sepanjang 15km sebelim penurunan yang curam juga sejauh 15km. Pendakian bermula terus sebaik sahaja kami melepasi simpang tiga dikedai makan tadi. Mula kelihatan pokok-pokok kopi dilereng-lereng bukit. Jalannya ternyata memang sangat curam. Saya percaya secara puratanya melebihi gred 12%. Sekiranya berkayuh, pastinya kami memerlukan satu hari lagi tambahan. Pendakian 15km secara terus dengan gred kecuraman sebegitu pasti mengambil masa lebin separuh hari untuk dihabiskan.

Sebaik sahaja sampai kepuncak (1,900++ mdpl), jalan mula menjunam turun. Memang sangat curam sehinggakan pemandu terpaksa kerap menekan brek anginnya. Agak cemas juga saya. Membayangkan menuruni curaman ini denga berbasikal dan bebanan! Pasti sangat berbahaya! Kelihatan dari atas pemandangan yang menakjubkan iaitu kawasan sawah padi yang terbentang luas dikaki gunung. Saya sudah memberi pesanan ringkas melalui telefon bimbit kepada Pak Hanafiah yang kami sudah pun menghampiri Takengon. Beliau membalas dan meminta kami tunggu di sebuan jambatan besi dipersimpangan ke Danau Laut Tawar dan Takengon.

Sebelum memasuki Takengon, kenderaan awam ini perlulah menghantar setiap penumpangnya ke destinasi terakhir mereka. Hampir sejam mengelilingi pinggiran kota Takengon. Kami berpeluang melihat gelanggang lumba kuda yang sangat terkenal di Takengon iaitu Lapangan Blang Bebangka Pegasing atau juga dikenali sebagai Lapangan Muhamad Hasan Gayo Pegasing. Lapangan ini adalah sepanjang 1.5km berbentuk oval dan boleh memuatkan seramai 300 pelumba. Acara lumba kuda ini dikenali sebagai Pacu Kuda Tradisional Gayo dimana joki menunggang tanpa pelana dan biasanya terdiri dari kanak-kanak sekolah dasar (kalau di Malaysia sekolah rendah).

20141213_160306

Lapangan lumba kuda dari jauh

20141213_160417

Seekor kuda yang sedang dilatih

Acara ini diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun di Pegasing iaitu pada hari ulang tahun Takengon dan juga hari kemerdekaan Republik Indonesia. Panjang sejarah bermulanya tradisi ini yang pada asalnya diadakan sempena musim ‘panen’ atau menuai padi. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sejarah pacu kuda ini, bolehlah Google. Sepanjang perjalanan ke Takengon dapat kami lihat kuda-kuda sedang dilatih. Menurut pemandu bas. Ini adalah kerana sebuah pertandingan akan diadakan didalam bulan February.

Kami tiba dipersimpangan yang dijanjikan dengan Pak Hanapiah pada jam 4 petang. Setelah selesai membayar tambang sebanyak 30,000 rupiah setiap orang bersama basikal. Agak terkejut saya kerana pada tanggapan saya terlalu murah dengan perjalanan yang agak sukar. Semasa kami sedang sibuk memasang semula beg panniee ke basikal, Pak Hanapiah pun tiba dengan berbasikal. Setelah mengenalkan diri masing-masing, kami pun meneruskan perjalanan ke Danau Laut Tawar. Sebuah danau yang terletak kira-kira 1,200 mdpl. Saya telah tahu mengenai danau ini sekian lama dan saya tidak menyangka bahawa hari ini saya akan sampai ke danau ini dengan berbasikal.

20141213_165916

Wak Husaini sedang menikmati pemandangan Danau Laut Tawar

20141213_171229

Bersama Pak Hanapiah

Pak Hanapiah membawa kami kesebuah hotel dipinggiran danau. Saya menolak dengan baik dan mengatakan padanya kami lebih berminat untuk beemalam dimasjid atau musollah. Dia bersetuju dan membawa kami kesebuah perkampungan yang beranam One One (disebut mengikut ejaan bukan dibaca sebagai nombor 1 dalam bahasa English). Kami dapati masjidnya benar-benar berada dipinggiran danau dan masih belum siap sepenuhnya. Memandangkan tiada jemaah didalam masjid, kami memgambil keputusan untuk minum petang bersama Pak Hanapiah disebuah kedai makan. Menurut Pak Hanapiah, kedai itu sering dikunjungi oleh pesikal-pesikal sekitar Takengon. Kedai itu juga menyediakan menu ikan bakar dan masakan Asam Ke’eng iaitu sejenis masakan asli masyarakat Aceh yang hampir sama dengan Asam Pedas di Malaysia.

Setelah hampir masuk waktu maghrib, kami pun berpisah dengan Pak Hanapiah. Kaminterus ke masjid tersebut dan menunggu jemaah tiba. Tidak lama kemudian, beberapa jemaah mula hadir dan Bilal mula melaungkan azan. Setelah selesai bersembahyang jemaah bersama, Wak bersama Abang Amer dan Wak Husaini berjumpa dengan imam masjid dan meminta kebenaran. Alhamdulillah diizinkan dan kami dibenarkan untuk tidur didalam masjid. Memandangkan beranda terbuka dan separuh siap masjid tersebut menganjur ke tasik, sudah tentulah kami lebih berminat untuk memasang khemah dan tidur disitu. Imam agak keberatan kerana tidak mahu dianggap tidak melayan tetamu dengan batul tapi akhirnya membenarkan setelah kami terangkan niat kami. Cuma imam berpesan sebagai orang luar kamimdilarang mandi didalam tasik kerana hampir setiap tahun ada saja korban yang terdiri dari orang luar. Menurutnya tasik ini dalam seolah tiada dasarnya. Terdapat juga mitos mengatakan tasik itu mempunyai entiti paranormal yang berbentuk tikar yang akan terapung didalam tasik. Sekiranya seseorang cuba mengambilnya, mangsa akan ditarik dan digulung oleh tikar tersebut. Suhu air tasik sangat sejuk, janganlah risau, saya tidak akan mandi dalam tasik itu!

Suhu diwaktu malam di Danau Laut Tawar adalah sangat sejuk. Kami memasang khemah di luar masjid menghadap tasik. Mana mungkin saya menukar saat ini dengan hotel mewah! Dari siang tadi kamintelah membuat keputusan untuk berehat selama dua malam disini untuk proses “recovery”. Setelah selesai membersihkan diri dibilik air masjid (air yang dibekalkan adalah dipam dari danau), kami pun pergi ke kedai makan siang tadi. Kami yang kelaparan telah memesan ikan emas (sejenis talapia) bakar sebanyak tiga ekor dan sayur pucuk labu (hanya itu sahaja sayur yang ada). Ikan adalah segar, hanya akan sitangkap san sisiang setelah menerima pesanan dari kita. Sedap! Sangat sedap, itu sahaja yang dapat saya katakan. Sampai sekarang saya teringat-ingat akan rasanya.

20141213_190625

Setelah di tempah barulah ikan ditngkap dan dibakar

20141213_193954

Semua ini bersama nasi dan 4 botol air mineral cuma 100,000 rupiah

Sedang asyik kami menikmati makan malam tersebut, tiba-tiba kedengaran suara perempuan menangis sayup-sayup dibelakang kedai. Saya lihat beberapa pekerja kedai itu cemas. Saya tanyakan kepada mereka siapa sebenarnya menangis dan kenapa. Menurut mereka salah seorang pekerja perempuan telah ‘dirasuk’. Alamak! Meremang terus bulu roma mendengarnya. Kedengaran suara tangisnya sayu. Kami berikan kurma nabi yang ada kami bawa bersama. Kami sememangnya lebih gemar membawa kurma, madu dan kismis ketika berbasikal kerana kami tidak sukakan power bar dan lain-lain makanan tambahan modern. Jumlah makan malam kami pada malam tersebut adalah cuma 100,000 rupiah. Sangat murah! Abang Amer kata, “macam ni tiap-tiap malam makan ikan bakar pun mampu!”.

Sesampai kami di masjid (jarak kedai makan dan masjid tak sampai 200m), saya dapati tempat kami berkhemah dikerumuni beberapa orang kanak-kanak. Sebaik sahaja melihat kami beberapa orang dari mereka telah lari. Namun begitu ada dua orang kanak-kanak lelaki menghampiri saya dan bertanya, “Kakak, apa benar kakak dari Malaysia?”. “Benar”, balas saya sambil mengangguk-angguk. “Jika benar, ayok, coba ngomong kayak Upin & Ipin!”. “Kakak datang dari Malaysia menaiki basikal. Adik-adik kenal dengan Upin dan Ipin?” kataku sambil tergelak. “Nahhhh kan benar mereka dari Malaysia!”, jerit salah seorang dari mereka. Terus mereka berlari mengelilingi khemah sambil menyebut semua karakter siri animasi Upin dan Ipin, skrip-skrip animasi tersebut dan diselang seli dengan nyanyian Boiboiboy! Sememangnya kanak-kanak di Indonesia sangat menggemari animasi dari Malaysia. Mereka menontonnya hampir setiap masa. Kerana keletihan saya mengelak untuk melayan kanak-kanak itu dengan masuk kedalam khemah. Lama juga mereka menyanyi sambil mengelilingi khemah kami. Akhirnya mereka pergi dan saya pun tidur dengan lenanya walaupun suhu sangat sejuk.

Itulah tidur yang paling nyenyak selepas beberapa hari berkayuh tanpa hari rehat. Oleh kerana besok merupakan hari rehat kami, saya merasa lega kerana tidak perlu mengemas barang-barang dan bersiap awal. Pastinya selepas subuh, saya boleh bersenang-senang merehatkan badan.

~bersambung~

Advertisements

8 responses to “Kayuhan Merentasi Negeri di atas Awan dan Seribu Bukit di Tanah Tinggi Gayo, Aceh – Blangkejeren ~ Takengon

  1. Salam kak ija

    Saya menjejakkan kaki ke Aceh semata2 utk melihat sendiri kesan2 tsunami. Tidak terlintas langsung terdapat pemandangan bukit bukau yg memukau ni. Caniknya subhanAllah. Tq kak ija

    #barukutahu

    • Salam
      Tempat yg paling hendak kakak lawati sebenarnya ialah Danau Laut Tawar. Tapi pd masa itu kakak menganggap Aceh itu biasa-biasa jer alam nya. Tetapi setelah meneliti buku Lonely Planet – Indonesia, I came accrossed GAYO HIGHLAND. Tak banyak review on internet menyebabkan curiousity level mencanak naik! tak sampai sebulan, saya pun pergi dan in awe with the beauty of Gayo and its people.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s