Kayuhan Merentasi Negeri Di atas Awan dan Seribu Bukit di Tanah Tinggi Gayo, Aceh ~ Takengon – Banda Aceh – Tanjung Balai

Hari 9 (14 Dis) – > Takengon

Pagi itu masjid hanya didatangi oleh Imam, Bilal dan isteri Imam. Selepas selesai mengerjakan subuh berjemaah saya kembali masuk ke khemah untuk menyusun semula pakaian dan semua perkakas saya didalam bag. Hari ini adalah ‘laundry day!”. Sambil menunggu cahaya yang cukup untuk saya membasuh baju, saya menikmati suasana fajar menyinsing ditepian danau tersebut. Kelihatan nelayan-nelayan mula keluar memeriksa sangkar ikan mereka. Jenis-jenis ikan yang diternak di danau ini ialah ikan emas dan ikan talapia. Danau ini memang terkenal sebagai kawasan pelancongan terkenal dikalangan penduduk tempatan Aceh. Dihujung minggu gerai-gerai ikan bakar akan penuh dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari Banda Aceh, Bireun dan Lhokeseumawe.

IMG_6505

Danau Laut Tawar dikala fajar menyinsing

20141214_064653

Kelihatan para nelayan mula keluar memeriksa sangkar ikan mereka

Apabila hari agak cerah saya mula membasuh kesemua pakaian saya. Baju kotor biasanya lembab dan menambah berat bebanan beg. Sebagai isteri kenalah saya membasuh pakaian saya sendiri dan pakaian Wak. Suhu sejuk sedikit menyukarkan kerja semudah membasuh baju! Abang Amer dan Wak Husaini juga tidak melepaskan peluang. Berebut-rebut ampaian baju nampaknya kami! Sambil bersiap untuk bersarapan pagi dan melawat sekitar danau ini, kami telah berbincang untuk rancangan seterusnya.

Plan asal untuk ke Meulaboh memang terpaksa kami batalkan memandangkan kami telah ketinggalan dua hari dari jadual. Saya juga dapat jangkakan untuk ke Meulaboh, kami harus menambahkan lagi dua hari dan menjadikan kami lewat 4 hari dari jadual untuk sampai ke Banda Aceh. Dan saya juga berpendapat untuk berkayun ke Meulaboh, saya akan perlukan satu hari (jumlah 3 hari) lagi hari rehat untuk pemulihan (recovery). Wak pada mulanya berkeras untuk mengikut plan asal akhirnya mengalah. Dia mencadangkan untuk berkayuh dari Takengon ke Bireun dan kemudiannya mengambil bas dari Bireun ke Banda Aceh. Saya katakan padanya tetap kami akan mengambil masa dua hari untuk sampai ke Banda Aceh. Kami sepatutnya mesti berada di Banda Aceh pada selewatnya 16 Disember, sekiranya mahu sampai Pelabuhan Klang pada 19 Disember. Akhirnya kami sebulat suara bersetuju untuk mencari bas terus ke Banda Aceh pada hari esok. Keputusan ini nampaknya memberi kelegaan pada Abang Amer. Beliau sukakan kayuhan berbukit, tetapi bukit-bukit (sebenarnya gunung) di Lintas Gayo ini terlalu kejam buat seorang seusia beliau. Kagum saya dengan kekuatan dan semangat beliau.

Buat pertama kalinya selepas 6 hari, pagi ini kami berkayuh tanpa beg. Terasa ringan melalui kawasan berbukit dipinggir danau ini. Kelihatan kuda-kuda berkeliaran dipadang ragut seperti lembu. Kami mencari-cari gerai yang sesuai. Disepanjang jalan terdapat banyak warung-warung menjual mee lobster. Sejenis udang kara air tawar yang besar. Sayangnya semua gerai ini masih belum beroperasi. Mungkin hanya akan buka untuk makan malam. Kami memilih sebuah gerai yang ada menghidangkan soto dan lontong serta beberapa jenis kuih-muih. Sambil berserapan kami juga berbual dengan suami kepada pemilik gerai. Topik perbualan kami adalah dari mitos tikar bergulung yang telah mengorbankan orang asing di danau ini saban tahun, pemilikan tanah di Gayo hinggalah ke GAM.

Menurut beliau, tanah-tanah di Tanah Tinggi Gayo ini tidak boleh dimiliki syarikat. Ianya hanya boleh dimiliki oleh orang perseorangan. Kerana itulah tiada usaha perladangan secara komersial dapat dilakukan walaupun daerah itu sangat subur dan sesuai untuk pelbagai jenis tanaman seperti kopi khasnya. Kopi yang dihasilkan di daerah ini adalah antara yang terbaik di dunia. Kopi gayo adalah salah satu jenis kopi yang digunakan oleh Starbuck, Coffee Bean dan franchise kopi lain. Bagi beliau bagus juga ianya dipelihara kalau tidak pasti rosak dan habis tanah rakyat tergadai dan dimiliki orang atau syarikat asing.

sarapan

Bersarapan sambil menikmati pemandangan danau dan melihat aktiviti penduduk tempatan

“Kalau dulu, biasa aja kita melihat mayat-mayat anggota GAM dibawa keluar dari hutan”, katanya apabila ditanya mengenai GAM. “Tapi kami orang Gayo tidak campur sangat”, tambahnya lagi. Menurut beliau kawasan yang sangat bergolak dan aktif pergerakkannya adalah di Lhokeseumawe. Semasa itu tidak ramai yang berani melalui jalan Lintas Gayo ini. Pertempuran diantara GAM dan TRI kerap berlaku menyebabkan daerah ini kurang aman. Tetapi semenjak GAM bersetuju meletak senjata keadaan menjadi lebih aman dan lebih ramai orang luar datang ke Tanah Tinggi Gayo ini dan merancakkan lagi perkembangan ekonomi di Takengon ini khasnya.

Setelah bersarapan kami berkayuh untuk melihat-lihat pemandangan dan aktiviti masyarakat Gayo di danau ini. Jalan disini dibina hampir dengan danau dan berbukit. Setengah kawasan agak curam. Walapun tidak membawa sebarang bebanan, terasa payah juga mendaki. Mungkin juga kerana kami sudah terlalu letih dan masih dalam proses pemulihan. Tetapi pemandangan di tepian danau ini sangat mengagumkan. Sawah padi bertingkat ditepian tasik memberikan pemandangan yang unik di danau ini. Kelihatan penduduk tempatan sudah mula mengerjakan sawah mereka dan memeriksa sangkar ikan. Kami menghabiskan masa sekitar dua jam menikmati pemandangan danau ini sebelum kembali ke khemah kami.

20141214_074554

Wak Husaini

20141214_074640

Abang Amer dan Wak Husaini, usia bukan penghalang

20141214_074921

Kuda-kuda disini bersepah bagaikan lembu. Kadang-kadang mereka sendiri tak pasti siapa tuan kuda ini

20141214_084852

Pemandangan yang sangat memukau. Kelihatan taman tema mini ditepi tasik

20141214_085106

Sawah padi bertingkat ditepi tasik berlatar belakangkan bukit bukau

20141214_085219

Saya dan Abang Amer tak lepaskan peluang pose dihadapan pemandangan yang sangat menakjubkan ini

20141214_085707

Sawah padi terbentang luas disini. Ada sedikit persamaan dengan Danau Maninjau

10806245_400967470050846_7531369335933898302_n

Salah satu menu utama disini.

20141214_091806

Lelaki ini menggunakan vespa yang ada ‘sidecar’ untuk membawa 3 anaknya bersama isteri berkeliling tasik untuk mengambil gambar. Beliau sangat meminati bidang photography.

20141214_092835

Kenderaan pegisar padi yang berwarna-warni

Kami menghabiskan masa seharian untuk berehat-rehat, membersihkan peralatan, membetulkan dan menservis basikal kami. Dari tempat kami berkhemah dapat kami menyaksikan aktiviti sampingan masyarakat disini seperti mencari siput (sama seperti siput gondang). Saya berpeluang melihat seekor kuda lumba sedang dimandikan dan dilatih kekuatan dan staminanya di dalam tasik. Masyarakat Gayo ini sungguhpun beragama Islam tetapi mereka memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan dan kesayangan. Di kaki tangga masjid yang dibina sehingga ke gigi air danau kelihatan seorang kanak-kanak mandi bersama anak anjingnya. Abang Amer yang kurang senang dengan hal ini telah menegur kanak-kanak tersebut. Masjid ini juga sering dikunjungi oleh pelancong tempatan dan rata-ratanya datang dari Banda Aceh. Mereka agak kehairanan melihat kami. Apabila tahu kami dari mana, bertambah hairanlah mereka!

20141214_124417

Wak sedang membaiki brake ‘kuda’ saya yang bermasalah sambil diperhatikan oleh Abang Amer. Dibelakang kami, penduduk tempatan sedang menurunkan kuda lumba untuk dimandikan ditasik.

20141214_141944

Leka saya memerhatikan mereka memandi dan melatih stamina kuda mereka

20141214_142227

Gambar panorama dari tapak perkhemahn kami yang terletak diatas anjung separuh siap sebuah masjid di Kg One One

Makan tengah hari direstoran yang sama semalam dengan menu yang hampir sama. Pada malamnya kami memasak sendiri. Cuaca pada malam itu lebih dingin dari semalam. Abang Amer telah mengambil gulungan sejadah dan meletakkannya didalam khemah. Wak Husaini semenjak semalam tidur di dalam masjid, kurang sejuk katanya. Besok, kami akan ke Takengon dan mencari pengangkutan ke Banda Aceh.

Hari 10 (15 Dis) – Takengon > Banda Aceh (Menaiki pengangkutan awam)

Pagi itu, saya merasa segar setelah mendapat rehat yang cukup. Setelah berkemas dan mengucapkan terima kasih kepada Imam dan Bilal masjid kami meninggalkan Danau Laut Tawar menuju ke Kota Takengon. Sebelum masuk ke Kota kami melintasi sebuah jambatan melintasi sungai yang dinamakan sebagai Sungai Krueng Peusangan. Ianya adalah satu-satunya sungai yang mengalir keluar dari Danau Laut Tawar. Danau ini terbentuk dari letusan gunung berapi beribu tahun dahulu dengan purata kedalaman 35m dan ada sesetengah tempat adalah sedalam 100m. Sungai ini menyalir lesu dan kelihatan bersih dan jernih walaupun ada terdapat banyak penempatan dikiri kanan tebingnya. Kota ini juga kelihatannya mempunya pengurusan pepejal yang baik. Sepanjang saya mengembara di Sumatera, inilah satunya kota yang saya lihat mengurusian sisa pepejalnya seperti di Malaysia. Kelihatan dikampung-kampung dan bandar-bandar tong besi besar untuk penduduk membuang sampah dan kelihatan lori sampah mengangkutnya.

20141215_073304

Jambatan besi sebelum memasuki kota Takengon

20141215_073341

Pemandangan Sungai Kruen Paseungan dari atas jambatan besi Satu-satunya sungai yang mengalir keluar dari Danau Laut Tawar

Dari atas jambatan dapat saya lihat beberapa penduduk sedang membasuh baju mereka disungai tersebut. Keadaan jalan semakin sibuk apabila kami menghampiri pusat bandar. Kami juga telah berhenti disebuah pasar pagi untuk memerhatikan dan mengambil gambar gelagat peniaga dan pembeli. Setibanya kami di sebuah persimpangan yang agak sibuk. Keliru dengan jalan mana yang harus kami ambil, Wak bertanyakan arah pada POLINTAS yang sedang bertugas. Mereka menunjukkan arah terminal bas kepada kami. Di tengah-tengah persimpangan terdapat sebuah menara. Saya tanyakan kepada anggota tersebut, menurut beliau ianya hanyalah mercu tanda persimpangan itu yanh dikenali sebagai Simpang Lima.

IMG_6517

Pasar pagi di Kota Takengon

IMG_6522

Nama jalan dimana terdapatnya pasar pagi

20141215_074150

Menjual pelbagai jenis buahan dan sayuran

IMG_6527

Pagi itu terdapat banyak perbarisan dan kawat oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk polis dan tentera

IMG_6528

Papan bunga, pemandangan biasa di Sumatera. Pada asalnya memang dibuat dari bunga tetapi sekarang hanya menggunakan kertas berwarna yang dipintal-pintal

20141215_075738

Kelihatan tong sampah bagi mengumpul dan mengangkut sisa domestik pepejal.

IMG_6530

Serbuk kopi gayo. Biji kopi gayo yang dikisar tanpa sebaranng campuran

IMG_6532

Salah satu jenama yang aak terkenal – Lakun

Sebelum meneruskan misi mencari terminal bas kami membuat keputusan untuk bersarapan dahulu dan mencari kedai basikal. Ini adalah kerana basikal kami semua perlu diservis dan dibaiki. Brek dan tayar basikal saya tidak dapat berfungsi dengan baik. Basikal Abang Amer pula bermasalah dengan cassets belakang yang asyik lucut rantainya. Kami bertanya-tanya penduduk tempatan kedai membaiki basikal yang terdekat. Setelah bersarapan kami mencari kedai basikal yang ditunjukkan. Setelah berpusing beberapa kali dikawasan itu, kami berselisih dengan seorang yang berbasikal MTB. Kami sapa dan dia kata, “Kedai saya itu pak. Terus aja kehujung sana, toko saya disebelah kanan jalan. Lanjut dulu saya mahu membeli sarapan dahulu”. Saya benar-benar merasa lega apabila mendengarnya. Tiba-tiba ada seorang lelaki tua menegur saya “Jualan apa dik?”. “Gak jualan pak”, balasku. “Loh…jadi, apa yanh dibawa itu?”, tanyanya kehairanan sambil menunjuk kearah pannier beg saya. “Itu baju dan barang saya”. Saya tersenyum dan meninggalkan pakcik tersebut yang masih kehairanan. Ini bukan pertama kali saya disangka penjaja berbasikal semasa di Sumatera! Lucu rasanya.

Tak jauh dari situ kami nampak kedai basikal tersebut. “Toko Sepeda KAWI” tertera di papan tanda kedainya. Kami disambut oleh seorang lelaki tua yang kami pasti bapa kepada lelaki tadi. Melihat pada hiasan dalaman kedai dan raut wajah lelaki tua itu, ternyata mereka berbangsa tionghua. Ternyata terdapat komuniti Cina Tionghua di Takengon ini. Tidak lama kemudain pemuda tadi kembali dan memperkenalkan dirinya sebagai Saripati Zhong. Sambil Saripati membaiki basikal kami, sempat saya berbual dengan ayah Saripati mengenai suku suku kaum di Aceh ini. Rupanya itulah perbualan pertama dan terakhir kami dengannya. Beliau telah meninggal dunia pada awal bulan Mac 2015 akibat serangan angin ahmar.

20141215_091102

Satu-satunya bengkel kedai basikal di kota Takengon yang dimiliki oleh keluarga berbangsa Cina

20141215_091338

Saripati Zhong pengusaha bengkel basikal Toko Kawi sedng menservis basikal saya

IMG_6535

Mendiang ayah Saripati.

Saripati ternyata cekap dan mahir membaiki basikal kami. Kurang dari sejam, beliau telah membetulkan brek basikal saya dan wak. Membuat ‘balancing’ keatas tayar saya dan menservis group set saya dan Abang Amer. Malangnya tiada apa yg dapat dilakukan kepada basikal Abang Amer kerana ketiadaan alat ganti. Beliau cuma menasihati Abang Amer untuk tidak menggunakan crank besar. Setelah selesai dan berpuas hati dengan keadaan basikal kami, saya meminta Saripati mengira jumlah caj kerjanya. Beliau menolak! Saya katakan padanya “Malu lah kami kalau tidak langsung membayar. Banyak masa dan tenaga yang digunakan”. “Kalau saya terima wang, saya lagi malu kak! Anggap saja ianya bantuan yg tak seberapa dari saya untuk petualang seperti kalian”, balasnya. Alangkah baik dan mesranya penduduk Aceh di Tanah Gayo ini. Tidak sekali pun saya rasa tertipu atau dikenakan caj berlebihan bila berurusniaga dengan mereka walaupun dari awal mereka sedia maklum kami dari Malaysia.

Setelah berpuas hati dengan keadaan basikal kami, kami pun meneruskan perjalanan mencari stesen bas. Terletak agak jauh dari pusat bandar. Ianya sebuah kompleks yang baru dibina dan belum beroperasi sepenuhnya. Saya bayangkan akan terdapat banyak bas ekspress disitu. Ternyata silap andaian saya kerana yang ada hanyalah kenderaan awam biasa iaitu labi-labi ataupun L300. Kami dihampiri oleh ‘calo’ yang menawarkan perkhidmatan mereka. Calo adalah gelaran kepada orang tengah yang menawarkan pembelian tiket perkhidmatan. Di Malaysia lebih dikenali sebagai ‘ulat tiket’. Walaupun stesen tersebut dikawal oleh DISHUB (di Malaysia sama fungsi seperti JPJ), pegawainya hanya melihat sahaja kegiatan calo-calo ini. Malah bila saya tanya adakah harga yang dikenakan berpatutan, mereka mengelak untuk menjawabnya. Setelah bersetuju dengan harga yang ditawarkan ke Banda Aceh iaitu 780,000 rupiah, kami pun meneruskan perjalanan selama 8 jam melalui Bireun dan Sigli.

IMG_6539

Sebuah masjid yng indah di kota Takengon

IMG_6538

Mercu tanda Simpang Lima

Saya mengirim pesanan ringkas kepada Santi meminta alamat dan memaklumkan kepadanya yang kami sudahpun memulakan perjalanan ke Banda Aceh. Disepanjang perjalanan tidak banyak penumpang yang turun dan naik. Perlahan-lahan kami meninggalkan tanah tinggi menuju ke Bireun. Landskap mula berubah dari pokok pine ke hutan biasa dan akhirnya tanah sawah. Melepasi Bireun menuju ke Sigli, keadaan jalan mula mendaki semula kerana perlu melintasi sebuah pergunungan sebelum kembali datar ke Banda Aceh. Kami sampai pada jam 7 malam di terminal bas. Bertukar pemandu, beliau meminta alamat dan kemudiannya menelefon Santi untuk tempat yang lebih tepat.

20141215_203419

Makan malam bersama Santi

Sebaik sampai kami disambut oleh Santi. Sebelum ini hanya berbual dengan beliau melalui FB, ternyata hari ini kami dapat bersua muka. Kami terasa bagaikan telah lama kenal dan beliau serasa bagaikan sukar untuk percaya yang akhirnya kami berada di Aceh. Semuanya bagaikan mimpi. Wak, Abang Amer dan Wak Husaini telah ditempatkan disebuah kedai kosong milik abang Santi. Manakala saya pula ditempatkan dirumah Santi yang terletak dibelakang kedai tersebut. Setelah membersihkan diri, kami telah berbasikal untuk makan malam dan melawat beberapa buah kedai menjual barangan ‘outdoor’ seperti Eiger. Sambil menikmati makan malam, kami berbincang mengenai rancangan kami untuk ke Pulau Weh keesokkan harinya. Menurut Santi, Pelabuhan Ulee Lheue cuma sekitar 5 km dari rumah beliau. Menurutnya jadual perjalanan agak tidak tetap dan menasihati kami untuk berkayuh ke pelabuhan seawal jam 8 pagi esok. Beliau pernah berkayuh di Pulau Weh untuk ke Sabang beberapa kali. Menurut beliau terdapat satu jalan alternatif yang lebih pendek untuk ke Sabang yang terkenal sebagai titik paling barat kepulauan Indonesia. Ianya juga dikenali sebagai Nol Kilometer (0 km).

 

Hari 11 (16 Dis) – Banda Aceh > Pulau Weh

Keesokkan paginya kami bersiap awal dan dengan petunjuk arah dari Santi, kamipun berkayuh menuju ke Pelabuhan Ulee Lheue. Disepanjang perjalanan kami dapat melihat kesan-kesan tsunami yang telah melanda Banda Aceh 10 tahun yang lepas. Kelihatan sampan-sampan nelayan Aceh yang agak unik reka bentuknya mula keluar belayar ke laut. Kami sampai ke pelabuhan sekitar jam 7.30 pagi. Kaunter tiket hanya akan buka pada jam 8.30 pagi dan jadual pelayaran untuk feri adalah jam 11.00pagi. Feri yang belayar perlahan akan mengambil masa sekitar 2 jam untuk sampai ke Pulau Weh. Harga tiket adalah 18,000 rupiah untuk penumpang. Sekiranya mahu cepat dan tidak mahu menuggu lama, bolehlah memilih boat laju dengan harga yang berganda.

IMG_6549

Di dalam perjalanan dari rumah Santi ke Pelabuhan

IMG_6551

Antara rumah yang dibadai tsunami. Dipenuhi graffiti bsgi mengingati kejadian tersebut

20141216_070706

Bentuk sampan Aceh yang unik

20141216_070851

Wak tak lepas peluang merakam gambar

Walaupun jam sudah menunjukkan jam 8.30 pagi, kaunter tiket masih belum dibuka. Salah seorang anggota DISHUB bercakap bahasa Malaysia dalam loghat Penang dengan lancar. Beliau pernah bekerja di Butterworth selama beberapa tahun dan kini telah kembali ke Aceh. Beliau sangat ramah dan telah memastikan saya dapat membeli tiket dan kami semua selamat menaiki feri. Feri setinggi tiga tingkat itu berupaya membawa lori-lori sebesar 20 ton melebihi 10 buah. Kakitangan feri juga amat ramai. Melalui pemerhatian saya, setiap pekerma hanya mengkhusus kepada satu kerja. Sekiranya di Malaysia, kerja-kerja yang dilakukan oleh 5 orang pekerja disini adalah bersamaan dengan 1 orang pekerja. Kerana itulah gaji mereka kecil, mungkin untuk mengadakan lebih banyak peluang pekerjaan. Gaji seorang di Malaysia dibahagikan kepada 5.

20141216_091959

Jarak diantara satu tempat ke tempat di Pulau Weh. Maaf gambar kabur

20141216_073124

Antara tajuk utama surat khabar tempatan di Aceh.

Abang Amer pun terkena demam batu giyok?

Abang Amer pun terkena demam batu giyok?

Semasa sedang menunggu feri, saya telah ke pejabat pelancongan mereka untuk mendapatkan maklumat dan laluan yang lebih jelas ke Sabang. Agak jauh jaraknya iaitu sekitar 20km dari pelabuhan kami mendarat nanti dan melalui jalan-jalan mendaki yang agak sukar untuk pesikal. Sekiranya kami memutuskan untuk ke sana bermakna kami memerlukan satu hari lagi tambahan kerana tidak mungkin kami dapat pergi dan kembali pada hari yag sama kerana feri hanya berlayar ke Pelabuhan Ulee Lheue sekali sehari pada jam 8 pagi. Kami tiba di Pulau Weh jam 1 tengah hari. Cuaca panas dengan mentari terik memaksa kami mencari kedai untuk memikirkan semula rancangan kami untuk ke Sabang sambil mengisi perut yang kosong. Kami memutuskan untuk membatalkan niat kami ke Sabang dan hanya berada disekitar pelabuhan supaya tidak terlepas feri pada keesokkan harinya. Setelah makan kami berlegar-legar sekitar pelabuhan untuk mencari tempat yang sesuai untuk berkhemah. Malangnya tiada tempat yang sesuai kerana tiada kemudahan tandas. Masjid dan musollah juga tiada air kerana pulau itu sedang mengalami masalah bekalan air bersih. Akhirnya kami tiada pilihan melainkan menyewa bilik hotel yg terdapat dikawasan pelabuhan. Hotel-hotel ini menyimpan bekalan air untuk penyewa mereka.

IMG_6555

Sedang menunggu kebenaran menaiki feri

IMG_6557

Lelaki ini (berkaca mata) fasih bercakap dalam loghat Penang. Beliau telah membantu kami.

IMG_6561

Basikal kami dicelah kenderaan besar diatas feri. Diberi keutamaan untuk berada dibahagian depan.

20141216_141752

Under renovation

IMG_6576

Jalan menuju ke Sabang dan lain-lain tempat di pulau ini

Setelah mendaftar masuk kami berehat dan pada sebelah petangnya keluar berkayuh melihat-lihat perkampungan yang terdapat disekitar pelabuhan ini. Walaupun terasa agak terkilan kerana tidak dapat berkayuh ke Sabang, sekurangnya saya sudah menjejakkan kaki ke pulau ini. Jalan keluar dari pelabuhan untuk menuju ketempat lain di pulau ini agak mendaki dan dari jauh kelihatan satu jalan zig-zag yang curam. Pemandangan itu sahaja sudah cukup melemahkan semangat saya yang mungkin telah keletihan dari segi mentak dan fizikal. Nampaknya saya telah ‘underestimate’ pulau ini. Dari cerita Santi kedengaran sangat mudah, mungkin kerana dia sudah biasa ataypun ketika berkayun disini berada didalam keadaan yang ‘fit’ fizikal dan mentalnya. Nasihat saya sekiranya ingin berkayuh disini, pastikan anda mendapat cukup rehat dan punya masa sekurangnya 3 hari untuk menjelajahnya.

IMG_6564

Abang ini menceritakan bagaimana kedainya langsung tidak terjejas walaupun Pulau Weh ini teruk dilanda tsunami sedangkan kedai beliau berada di pinggir pantai. Semuanya dengan izin Allah

IMG_6571

Kami masih berasa pelik dengan bentuk sampan Aceh ini

IMG_6570

Antara kesan tsunami

IMG_6568

Pohon-pohon yang ditanam berbaris kelihatan sangat menarik

Malam itu kami makan malam disebuah rumah makan yang berhampiran. Rumah makan itu mempunyai suasana seperti disebuah bistro. Pelayan dan pekerjanya semua anak-anak muda yang nampak sungguh ‘up to date’ cara berpakaian mereka. Kopi adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dengan Aceh. Kedai kopi atau Warkop (singkatan kepada warong kopi) ada dimana-mana. Malam itu kami mencuba kopi saring. Kami merasa sangat terhibur dengan cara pembuat kopi disitu menarik kopi menggunkjan penapis yang disebut sebagai saring. Ternyata sangat sedap dan terasa keaslian kopinya.

Gaya si pembuat kopi saring

Gaya si pembuat kopi saring

Saya berpesan kepada semua untuk bersiap awal esok pagi kerana saya bimbang tertinggal feri yang katanya akan berangkat jam 8 pagi. Saya menghantar SMS kepada Santi dan maklumkan kepadanya kami akan menaiki feri jam 8 pagi. Dia membalas mengatakan yang dia akan menunggu kami dipintu masuk pelabuhan jam 10 pagi.

 

Hari 12 (17 Dis) – Pulau Weh > Banda Aceh > Medan

Sementara mereka yang lain sedang bersiap, jam 7 pagi saya sudah berada di kaunter tiket. Jarak penginapan dengan jeti cuma 200m. Tapi masih belum kelihatan tanda-tamda kauntervakan dibuka. Bila saya tanyakan kepada pengusaha kantin disitu beliau berkata “Jam 8 nanti kakak.”. Saya mengangguk faham walau dalam hati merungut “takkan jam 8 pagi belayar, jam 8 kaunter baru nak buka?!”. Selang 10 minit saya datang memeriksa tapi malangnya masih juga belum buka. Tepat jam 8 saya serta yang lain sekali lagi ke kaunter. Orang yang sama saya tanyakan lagi, dan kali ini dia kata “Ini kaunter bot laju. Kakak mau naik feri atau bot laju?”. “Kenapa sekarang baru tanya?” rungut ku lagi dalam hati. “Naik feri”, jawab ku ringkas menahan marah. ” Kalau feri terus aja ke dermaga. Beli tiket disana”. “Dimana dermaganya?”. Dengan pantas saya dan yang lain bergegas ke arah dermaga.

IMG_6579

Tempat menunggu penumpang feri

Kelihatan sudah ramai orang memenuhi tempat menunggu. Sebaik sahaja kami sampai, saya didekati seorang lelaki yang mengatakan “tiket, tiket”. Tanpa fikir panjang dan dalam keadaan sedikit panik saya terus tanya berapa dan memberi dia wang. Dia meminta wang lebih dari saya, saya katakan kepadanya saya sudah kehabisan wang. Setelah menunggu hampir 10 minit saya masih menunggu tiket saya dan kelihatannya seperti staff feri sudah mula mahu membenarkan penumpang memasuki feri. Saya menjadi panik dan mula mencari-cari lelaki tadi. Sebaik sahaja melihat beliau, berlaku sedikit kekecohan antara Wak dan lelaki itu. Rupanya dia ialah ‘calo’ dan menanti sehingga saat akhir untuk menyerahkan tiket kepada saya. Kalau saya tahu dia calo, pasti saya tidak akan berurusan dengannya kerana jarak diatara tempat kami menanti dengan kaunter tiket tak sampai 100m. Untuk mengelak keadaan menjadi lebih tegang, saya meminta dia membeli tiket sekarang atau saya minta kembali wang saya. Dia pun terus pergi membelinya dan serah kepada saya dan untuk tidak memperpanjangkan cerita saya beri 10,000 rupiah kepadanya. Pada mulanya dia enggan, tapi saya katakan padanya, “Kamu sudah belikan saya tiket, ini tanda terima kasih saya”. Dia tersenyum, lega hati saya. Pintu pagar dibuka dan kami semua naik ke feri. Tak sampai 15 minit, feri pun belayar.

IMG_6582

Penumpang memenuhi dek atas feri

Kami sampai di pelabuhan Ulee Lheue tepat jam 10 pagi. Santi sudah bersedia menunggu kami di pintu masuk pelabuhan. Beliau telah meluangkan masanya hari ini untuk membawa kami melawat beberapa tempat dan monumen yang berkaitan dengan tsunami. Ianya bagaikan sebuah marathon kerana kami cuba untuk mengunjungi seberapa banyak tempat yanh boleh. Dalam masa yang sama, Santi telah menghubungi rakannya untuk mendapatkan kenderaan untuk kami ke Medan. Setelah bersetuju dengan harganya, waktu bertolak ditetapkan pada jam 8 malam dan kenderaan itu akan datang mengambil kami dirumah Santi. Jadi kami ada waktu seharian untuk melawat tempat-tempat utama. Kami telah melawat Masjid Baitul Rahman dan Baitul Rahim, Muzium Tsunami, Rumah Adat Aceh dan Kapal PL TD Apung yang tersadai 5km dari pelabuhan.

Santi, kecil molek orangnya tapi pantas bergerak! Banyak membantu kami sepanjang kami di Aceh

Santi, kecil molek orangnya tapi pantas bergerak! Banyak membantu kami sepanjang kami di Aceh

20141217_101005

Antara masjid yang terselamat dari dibadai tsunami

IMG_6596

Saya dan Santi sedang mendengar penerangan dari siak Masjid ini

IMG_6592

Rupa bentuk masjid dari luar

IMG_6600

Muzium Tsunami. Hanya ini gambar yang saya masukkan didalam entry ini kerana saya percaya sudah terlalu banyak diinternet

IMG_6615

Self explained

20141217_110329

Saya jumpa ramai pelancong Malaysia disini

IMG_6612

Saya telah ditemuramah oleh TV1 Indonesia yang sedang membuat liputan 10 tahun tsunami di atas kapal PL TD Apung

IMG_6623

Sebuah lagi masjid yang terselamat dan melindungi banyak mangsa dari terjahan ombak tsunami

20141217_121140

Rupa bentuk masjid dari hadapan

20141217_121309

Masjid ini juga punya nilai sejarah dizaman penjajahan Belanda

Kami sempat singgah makan tengah hari (agak lewat sekitar jam 2 petang) di Black Jack, sebuah restoran yang sangat popular dikalangan penggiat aktiviti lasak seperti motor, basikal, trekking dan gunung. Boleh dikatakan sekiranya anda penggiat ‘outdoor’ adalah tidak sah sekiranya tidak singgah ke situ. Halaman restoran adalah luas dan sesuai untuk berkumpul dengan teman-teman yang sama minat. Menurut Santi tempat ini hampir menjadi rumah keduanya. Di Black Jack saya sempat menikmati Kopi Sanger iaitu kopi susu yang sangat sedap. Saya minum sehingga dua gelas! Ia juga menyediakan perkhidmatan wifi percuma. Wak memanggil salah seorang pelayan dan bertanyakan kata laluannya. “Belum tahu lagi”, katanya. “Apa kamu baru bekerja disini? Masih belum tahu passwordnya?” balas Wak. “Passwordnya – belumtahulagi, pak”, ujarnya tersenyum. Kami semua mentertawakan Wak. Nampaknya ini kali kedua dia terkena.

IMG_6627

Restoran Black Jack

IMG_6626

Tempat berkumpul oenggiat sukan bermotorsikal dan lain2 aktiviti lasak dan outdoor

20141217_131704

Kopi sangker yang sangat umpphhh!

20141217_151400

Rumah adat Aceh punya ukuran dibumbungnya yang tertulis Asma’ul Husna dan sepotong ayat dari surah Nabi Nuh (sepertinya ada ingatan dari nenek moyang bangsa Aceh tentang tsunami?)

20141217_151513

Wak sedang berbual dengan Pengarah muzium Rumah Adat yang pernah belajar di UIA yang pada ketika itu di Bangsar. Kami pada mulanya ingatkan beliau tukang kebun kerana beliau sedang memangkas pokok dan mengutip daun-daun kering.

Selepas itu kami kembali ke rumah Santi untuk berehat sementara menanti hari malam. Ibu Santi telah membekalkan saya asam sunti buatannya sendiri. Asam sunti diperbuat dari buah belimbing buluh yang digaul bersama garam, diperap didalam tembikar dan kemudiannya dikeringkan dibawah cahaya matahari. Ianya digunakan didalam masakan seperti asam keping dan sesuai digunakan untuk memasak asam pedas. Agak banyak juga dan ibunya berpesan agar saya menjemurnya sehingga kering sebaik saja sampai di Malaysia. Saya, erasa sangatbterharu dengan layan Santi serta keluarganya. Tak terbalas rasanya dan saya akan sentiasa mengharap kedatangan Santi ke Malaysia agar saya dapat membalas budi baik beliau sepanjang kami berada di Aceh.

Sekitar jam 8 malam, van pun sampai untuk menjemput kami. Berat rasanya hati meninggalkan Santi dan keluarganya. Perjalanan dijangka mengambil masa selama 10 jam. Saya dah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi perjalanan selama 10jam didalam kenderaan yang tidak selesa dan sikap pemandunya yang rata-rata memandu laju dan kadang agak cemerkap. Van ini atau labi-labi telah mengambil penumpang lain disepanjang perjalanan kami sehingga penuh dan menambahkan lagi ketidak selesaan kami. Jalan raya di sepanjang Lintas Timur agak baik walaupun adakalanya terlalu semput dan curam. Namun ini tidak sedikitpun menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaannya malah bagaikan dirasuk kelajuannya menakutkan. Sebaik sahaja hari siang dan kami mula memasuki provinsi Sumatera Utara, barulah saya menarik nafas lega dan mencuri masa untuk tidur.

 

Hari 13 (18 Dis) – Medan > Tanjung Balai

Medan macet disana sini! Hampir sejam untuk sampai ke stesen bas berikutnya. Sebaik sampai ke stesen bas, kami telah berbincang dengan syarikat pengangkutan mengenai tambang untuk kami dan basikal ke Tanjung Balai. Sebenarnya sekiranya kumpulan kita ada 4 otang paling minimum beserta basikal, mereka mahu menyediakan sebuah labi-labi dan bergerak tanpa mengikut jadual untuk kita. Saya rasa jumlah bayaran dari kumpulan kita itu sudah ‘balik modal’. Keuntungan adalah penumpang-penumpang lain yang akan naik disepanjang perjalanan. Setelah semua basikal kamimdiikat dibumbung van dan barang dimasukkan, berlaku sedikit pertengkaran antara saya dengan pemandu. Semasa perbincangan dikaunter tiket sebelum ini mereka telah bersetuju dengan bayaran sebanyak 250,000 rupiah untuk tambang kami dan basikal. Tetapi menurut pemandu berlaku sedikit salah faham dimana jumlah sebenarnya adalah 300,000 rupiah. Pandai juga mereja, setelah semua basikal diikat baeulah mahu mempertikaikan kadar tambang. Apa lagi pilihan yang saya ada? Setelah mencongak 300,000 rupiah itu sebenarnya tidak sampai RM90, saya jadi malas untuk bertengkar. Terus saya serahkan 50,000 rupiah kepada pemandunya sambil berkata “ya sudah! Asalkan cepat keluar dari sini.”

Wak kelihatannya sudah hilang sabar dengan kerenah pemandu dan syarikat pengangkutan di Sumatera ini. Saya cuba menenangkan beliau dan katakan padanya, kalau dikira semula, tak seberapa, mungkin kerana angkanya besar buat kita rasa seperti diperas. Bagi saya, mereka cuma melakukannya demi kelangsungan hidup. Masih jauh lebih murah berbanding negara kita sendiri. Hampir dua jam untuk keluar dari Medan. Kesesakan jalannya sangat luar biasa. Hampir jam 3 barulah kami tiba di Tanjung Balai. Sebaik sampai kami diserbu oleh calo-calo yang menawarkan khidmat beca untuk dihantar ke destinasi seterusnya. Saya katakan kepada mereka “Saya bawa sepeda, tak perlu.”. Setelah menurunkan basikal dan mengikat semua barang kami ke basikal, kami pu meneruskan perjalanan menuju Teluk Nibong. Kami singgah sebentar disebuah masjid untuk berehat dan menunaikan solat. Kami berbincang samada mahu menginap dimasjid tersebut atau menerukan perjalanan mencari masjid yang lebih hampir dengan pelabuhan. Kami memutuskan untuk ke Kota Tanjung Balai dulu untuk menikmati nasi uduk sebelum menuju ke Telok Nibong. Saya masih ingat jalan ke kedai nasi uduk yang dibawa oleh rakan saya semasa saya dan Wak berkayuh ke Toba dahulu.

Setelah hari hampir malam kami pun mula mencari masjid yang terdekat dengan pelabuhan. Biasanya saya lebih suka memilih masjid yang kecil diaman kebiasaannya jemaahnya lebih ramah dan terbuka menerima musafir. Ianya juga lebih privasi. Alhamdulillah kami diterima baik oleh jemaah disebuah masjid kecil kira-kira 1 km dari pelabuhan. Malam itu hujan turu dengan lebatnya. Saya berasa bersyukur kerana sepanjang perjalanan kami, inilah hujan yang pertama kami alami.

Semasa didalam proses memasukkan gambar di dalam entry ini barulah saya sedari yang saya tiada gambar sepanjang perjalanan dari Banda Aceh ke Tanjung Balai. Mungkin terlalu penat atau sudah terlalu biasa dengan tempat-tempat ini.

 

Hari 14 (19 Dis) – Tanjung Balai > Pelabuhan Klang

Keesokkan paginya kami telah ke pelabuhan walaupun Nevi sudah katakan yang dia telah daftar masukkan kami dan kami tidak perlu datang awal. Tidak sabar rasanya hendak pulang ke tanah air sendiri dan rindu kepada anak-anak tuhan saja yang tahu. Merekalah penyebab saya tidak betah lama-lama mengembara. Sebab untuk saya pulang ke rumah. Segala urusan berjalan lancar dan mudah bila menggunakan peekhidmatan Pak Atan. Kami dapat masuk ke dalam feri lebih awal dari penumpang lain.

Tempat duduk paling depan punya ruang yang luas membolehkan kami meletakkan beg dan duduk dengan selesa

Tempat duduk paling depan punya ruang yang luas membolehkan kami meletakkan beg dan duduk dengan selesa

Kayuhan kai ini sangat bermakna kerana kami dapat menjelajah sebuah tempat yang begitu asing dan tidak pernah kami dengar dan sedar akan kewujudannya. Walaupun perjalanannya agak perit, tapi terlalu manis untuk disimpan sebagai kenangan. Banyak yang kami belajar dari perjalanan di tanah Gayo ini.

20141219_193536

Terima kasih kepada Abang Syaaban yang sudi menjemput saya dan Wak di pelabuhan dan menghantar kami pulang. Tidak lupa juga kepada Azmi yang juga telah sudi menghantar Abang Amer pulang ke Shah Alam

Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan setiap kali kami keluar berkelana. Mereka sentiasa ada disaat kami memerlukan.

~END~

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s