Pulau Misa Melayu Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara, Malaysia. Dendang Anak, Cawangan Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak

Pertama kali saya mendengar nama tempat ini beberapa tahun yg lepas. Tapi saya tidak pernah ambil serius tentang kewujudan tempat itu kerana pada perkiraan saya tempat tersebut adalah tertutup dan kunjungan hendaklah secara rasmi melalui temujanji dan melalui badan-badan tertentu. Memandangkan saya hanyalah golongan persendirian, mana mungkin kami akan dapat ke tempat tersebut tanpa jemputan.

Saya, Wak, Tun Teja, King dan Wak Jan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini sangat berminat dengan sejarah lama Melayu. Minat kembara berbasikal atau bermotorsikal kami sering diselitkan dengan pencarian seperti mencari sejarah Kerajaan Melayu Lama iaitu Linge di Aceh Tengah, Pulau Lingga, Gangga Negara, Kerajaan Sanggora, batu megalithic/menhir serta makam-makam raja.

King pula mula berminat dengan tanjak dan cuba menerapkan pemakainnya menggantikan cap/topi. Didalam pencariannya itu lah telah membawa kami ke Pulau Misa. Memandangkan cerita Pulau Misa ada diceritakan dalam blog orangperak.com dan penulisnya adalah sahabat baik kami sendiri iaitu Fred, kami telah mendapatkan sedikit info dari beliau.

Seperti hari yang telah ditetapkan kami pun mula bergerak dengan jentera kapcai kami yang telah diubahsuai untuk tujuan pengembaraan dari Klang terus menuju ke Teluk Intan. Kami telah singgah di Menara Condong Teluk Intan dan situs dimana seekor gajah jantan telah merempuh sebuah keretapi kerana dendam pada September 1894. Dipercayai keretapi itu telah melanggar anaknya sebelum itu. Bangkai gajah itu telah ditanam ditempat kejadian dan kepalanya telah diawet dan disimpan di Muzium Taiping.

Terserempak dengan kawan lama dunia permotoran

Wak macam biasa pose tak nak kalah. Di monument gajah melanggar keretapi

Setelah mengabadikan beberaa keping gambar di tempat -tempat bersejarah tersebut, kami terus menuju ke Bota Kiri. Dari maklumat yang kami ada, Pulau Misa terletak di Teluk Kepayang, Bota Kiri. Nampaknya orang tempatan sendiri kurang tahu dimana letaknya tempat ini, terutama golongan tua. Bila ditanya mereka sangka Pulau Pisang. Menurut mereka Pulau Pisang ini terletak tidak jauh dari Teluk Kepayang. Rasa hendak tergelak pun ada. Ye lah, Pulau Pisang dan Pulau Misa memang hampir sama bunyinya. Tapi bila ditanya pada golongan muda, ternyata mereka lebih tahu dan memberi tunjuk arah yang tepat. Menurut mereka ianya terletak di Teluk Kepayang dan ada papan tanda disebelah kanan jalan.

Tanpa melengahkan masa, kami pun terus pulas menuju ke Pulau Misa. Dalam hati masing-masing masih tertanya-tanya bagaimanakah rupa pulau tersebut, bagaimanakah penerimaan mereka terhadap kami, apakah niat kami untuk bermalam disitu diizinkan dan sebagainya.

Ternyata kurang dari 15 minit selepas itu kami telah nampak papan tanda seperti yang diceritakan. Apalagi tanpa buang masa kami pun merakamkan beberapa gambar untuk dijadikan kenangan dan rekod. Sedang kami sibuk bergambar, seorang pemuda berambut panjang telah menyapa kami dan berkata “Tok Temenggong ada kat dalam! Pi lah jumpa”. Wah, permulaan yang bagus.

Tanpa berlengah, kami pun terus masuk ke dalam. Ianya terletak agak jauh ke dalam. Kelihatan sebuah pintu gerbang dan sebuah pondok kelihatan seperti pondok pengawal. Wak telah melaporkan diri disitu dan menyatakan hasrat kami dan ingin bertemu dengan Tok Temenggong. Mereka telah menyambut kami dengan mesra dan salah seorang dari mereka pergi memanggil Tok Temenggong.

Jalan masuk ke Pulau Misa

Pintu gerbang Pulau Misa

Sementara itu saya memerhatikan sekeliling “perkampungan” itu. Ternyata suasananya seolah-olah sebuah perkampungan kecil zaman dahulukala. Terdapat beberapa buah rumah kampung mengelilingi kawasan tersebut. Kelihatan beberapa penghuni sedang berlegar-legar sedang melakukan pelbagai aktiviti termasuklah mengembala kambing. Kanak-kanak pula berlarian bermain sesama mereka. Ditengah-tengahnya ialah sebuah pentas. Pasti di sinilah mereka membuat persembahan, kata saya dalam hati. Apakah kami berpeluang melihat persembahan kebudayaan nanti?

Tak lama kemudian muncul seorang lelaki berusia sekitar 40an berambut panjang melepasi bahu, berbaju tradisional Melayu bagaikan orang dulu-dulu menghampiri kami. Penjaga pondok pengawal tadi memperkenalkan lelaki itu sebagai Tok Temenggong. Wak mewakili kami memerkenalkan diri dan menyatakan hajat dan hasrat kami. Dengan ramah beliau mengajak kami ke sebuah pondok dipinggir sungai. “Marilah kita berbual-bual di sana. Lebih selesa dan kalian juga boleh tidur di pondok itu malam nanti. Malam ni ada persembahan kebudayaan. Datanglah ya”. Segala keraguan dan tanda tanya kami sebelum ini terlerai. Tanpa syarat, tanpa basa basi kami diterima begitu sahaja sebagai tetamu.

Sesampai di pondok itu, gembira sungguh hati kami bila melihat kedudukannya yg sangat hampir dengan Sungai Perak. Pondok besar tanpa dinding itu bagaikan hotel bertaraf 5 bintang buat kami! Kami kebiasaannya tidak memilih sangat tempat tidur, asalkan ada sumber air berdekatan. Pondok ini lengkap dengan tandas yang terletak hanya kira-kira 100m jaraknya. Kelihatan beberapa ekor kambing yang ditambat berdekatan pondok sedang bising mengembek.

Tok Temenggong membuka bicara tentang asal usul Melayu. Dekatnya Melayu itu dengan Islam. Mengapa Melayu itu berambut panjang, apakah disebalik tanjak, tulisan jawi, tentang Ilmu, Alam dan Iman dan juga bagaimana tempat ini terpilih sebagai pusat kebudayaan dan kenapa namanya ialah Pulau Misa Melayu. Terlalu panjang untuk ditulis. Beliau telah mengongsikan ilmunya tanpa lokek. Terlalu banyak yang kami pelajari dari beliau dalam waktu yang terlalu singkat. Kalau hendak tahu lebih lanjut tentang Melayu, datanglah berkunjung ke Pulau Misa.

Tok Temenggong membuka bicara. Di pondok inilah kami bermalam

Malu ke nak mengaku Melayu? Malu ke nak berbusana dan mengamalkan kebudayaan Melayu? Terlalu banyak persoalkan cara orang dulu-dulu berdakwah? Banyak kerja bidaah dibuat dek Melayu? Mengapa Melayu semakin layu? Segala persoalan ini akan terjawab. Melayu ni terlalu berkias, berlapik dalam berbicara. Sangat setia dan punya toleransi yang tinggi. Masih sesuaikah sikap demikian dizaman ini? Toleransi ada batasnya, janganlah sampai dibuli di tanah air sendiri.

Pulau Misa ini sebenarnya didirikan di tanah rezab sungai. Menurut Tok Temenggong mereka masih dalam proses permohonan tanah tersebut. Apabila ditanya tentang kewangan persatuan ini, beliau berkata ianya adalah 100% atas sumbangan orang ramai dan penduduk sendiri. Mula dibuka pada tahun 1992 oleh pengasas persatuan ini iaitu Tuan Zulkifli bin Ismail.

Selain berfungsi sebagai sebuah pusat kebudayaan Melayu, perkampungan ini juga cuba membantu golongan penagih dan remaja bermasaalah. Kehadiran mereka disini adalah secara sukarela. Kawasan ini bukan pusat tahanan. Tidak berpagar dan bebas untuk keluat masuk. Tetapi untuk terus tinggal di sini mereka haruslah mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Setiap aktiviti haruslah mendapat izin terlebih dahulu dari Tok Temenggong. Mereka juga harus mengikuti pengajian agama, sembahyang berjemaah, aktiviti kebudayaan dan membantu menguruskan perkampungan tersebut.

Jiwa mereka ini diisi dengan keperluan rohani dan hiburan berbentuk kebudayaan sedikit sebanyak menarik minat mereka untuk terus menetap disini menjalani pemulihan. Mereka ini akan terlibat dengan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan setiap hari Sabtu malam Ahad bermula jam 10.30 malam hingga jam 12.00 malam.

Jam 5.00 petang Tok Temenggong meminta diri dan kami pun mula membersihkan diri dan seperti biasa, chef kami Wak dan King pun memulakan operasi memasak untuk makan malam kami. Tok Temenggong telah menghantar bantal, selimut serta sejadah buat kami. Memang betul-betul rasa teruja dengan layanan mereka. Sambil masak dan berehat kami dapat mendengar mereka sedang berlatih dendang. Bunyi alatan muzik tradisional bersilih ganti. Kami makan sebelum maghrib kerana Wak dan King ingin menyertai mereka sembahyang maghrib dan isyak berjemaah.

Ada kisah menarik kami berinteraksi dengan salah seorang penghuni perkampungan ini. Ada saya tulis di FB saya. Jika berminat untuk membaca kisahnya sila klik di sini https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216479058517637&id=1492412558

Chef Wak dan King sedang beraksi. Suasana tepi sungai ni buat perut sentiasa lapar

Tepat jam 10.00 malam, persembahan pun bermula. Saya pada mulanya merancang untuk berbusana tradisional. Tapi entah macam mana tertinggal pula. Apabila sampai di pentas, perasaan menyesal saya membuak-buak apabila melihat penghuni serta tetamu lengkap berbusana Melayu lengkap bertanjak dan berkeris. Segak-segak semuanya dan saya rasa seperti telah di teleport ke zaman Hang Tuah. Selama 2 jam kami telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian dan silat. Satu perasaan yang sukar digambarkan. Melihat anak-anak kecil turut sama mempersembahkan tarian dan silat membuat saya kagum. Kanak-kanak bebas bermain di perkampungan ini tanpa dirisaukan keselamatan mereka. Sama seperti suasana perkampungan dahulu kala.

Tiba-tiba ada yg pakai blangkon pula

Merajuk si comel ni bila tak dibenarkan menari tarian seterusnya

Persembahan yang mengagumkan

Bersama penari cilik dan pemuda yang membuat persembahan silat

Wak dan King bersama orang kuat persatuan. Tok Temenggong segak berbusana lengkap

Tetamu dan penghuni Pulau Misa semuanya lengkap berbusana Melayu

Segak-segak tak?

Tuan Tanjung Putus

Antara persembahan malam itu

Selepas selesai persembahan kami telah dihidangkan dengan jamuan ringan dan kami telah disapa oleh “pembesar-pembesar” persatuan ini. Seronok dapat berbual dengan mereka sambil-sambil bertukar pandangan. Sempat juga kami berbual dengan Tuan Tanjung Putus adik kepada Tok Temenggong yang merupakan seorang kakitangan kerajaan yang aktif didalam persatuan ini.

Kami kembali ke pondok jam 1 pagi. Suasana sejuk mula terasa. Bunyi ikan toman menyambar mangsanya silih berganti dengan bunyi unggas lain. Aman damai dan saya pasti akan tidur nyenyak ke pagi. Nasib baik Tok Temenggong bekalkan kami selimut. Kalau tidak pasti kami menggigil kesejukan.

Pagi itu kami tidak tergesa-gesa kerana tiada destinasi lain yang mahu kami tuju. Kami ingin bersarapan pagi di Qawwam iaitu sebuah warung dimana semua pekerjanya berbusana Melayu siap bertanjak termasuklah si penebar roti canai. Konsep warung ini sama dengan sebuah warung di Kampung Bukit Cherakah dengan nama yang sama iaitu Qawwam. Rupanya warung ini adalah hasil usaha persatuan kebudayaan Dendang Anak dan merupakan salah sebuah cawangan yang ada selain di Bota Kiri. Kalau ada yang berminat untuk membeli tanjak boleh lah membelinya di Qawwam.

Sebelum bergerak balik, kami telah melawat sekitar perkampungan dan mengambil beberapa gambar untuk dijadikan kenangan. Kami telah dijemput untuk “taam” sebelum berangkat pulang. Makan bihun goreng dalam talam bersama air kopi ternyata lebih sedap dari biasa. Satu budaya yang diamalkan oleh kumpulan tabligh dan merupakan sunnah Nabi SAW.

Suasana pagi di tebing Sungai Perak

Ta’am

Kopi yang sedap

Ayam Belanda yg busy body. Ikut kemana saja kami pergi

Selamat tinggal Pulau Misa! Kami tangguh dulu

Video – credit Tun Teja

Walaupun persatuan ini tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menyaksikan persembahan mereka mahupun penginapan di situ, saya menggalakkan pengunjung untuk membuat sedikit sumbangan ikhlas buat mereka. Sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kegiatan kebudayaan dan usaha pemulihan terhadap mereka yang bermasaalah di perkampungan ini. Tiada caj dikenakan terhadap golongan ini. Bantulah mereka membantu orang Melayu yang telah tewas dek godaan dunia. Saya lihat golongan remaja bermasalah sangat berdisiplin dan mampu dibentuk dengan minat mereka terhadap seni muzik, tarian dan silat Melayu.

Jom ke Pulau Misa!

https://www.google.com/maps/placelists/list/1gKMkT75QeLzcKbjNEvdRcXdpRp0?hl=en

Sebelum kembali ke rumah kami sempat meninjau rumah-rumah lama di pinggir sungai Perak. Ianya adalah cadangan dari sahabat kami di Perak iaitu saudara Zairil atau lebih mesra dengan panggilan Yen. Kami telah pergi ke rumah moyang beliau. Sila klik pautan ini untuk cerita lanjut

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216478534544538&id=1492412558

dan ini

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216463684173288&id=1492412558

Saya harap entry saya kali ini dapst memberi manfaat kepada banyak pihak. Segala pertanyaan dan pendapat boleh lah ditinggalkan di ruang comment. Terina kasih kerana sudi membaca.

Advertisements

4 responses to “Pulau Misa Melayu Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara, Malaysia. Dendang Anak, Cawangan Teluk Kepayang, Bota Kiri, Perak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s